Suasana khutbah tidak interaktif buat jemaah hilang fokus

BANGI – Khutbah Jumaat dengan kaedah komunikasi satu hala perlu diubah agar ilmu dan mesej yang disampaikan memberi manfaat kepada para jemaah.

Profesor di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun, dan Falsafah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Munif Zarirruddin Fikri Nordin berkata, suasana khutbah yang tidak interaktif menyebabkan makmum sering kehilangan fokus dan mudah lupa tentang mesej yang disampaikan oleh khatib.

Menulis di Berita Harian, beliau berkata, penyampai khutbah perlu memahami jangkaan makmum dan mengambil kira latar belakang mereka.

“Oleh sebab khutbah berakhir tanpa soalan, maka bagaikan satu sindrom, makmum dipaksa mendengar atau terpaksa menerima apa juga yang keluar dari mulut khatib, meskipun terdapat kenyataan tidak jelas, pandangan mengelirukan, justifikasi berat sebelah ataupun cadangan penyelesaian bersifat punitif, bukannya mendidik.

“Adakah atas nama syariat dan sunah, tugas makmum hanya menadah telinga dan menghadap segala kata-kata dilafazkan khatib tanpa dibenarkan menyoal kembali khatib meskipun selepas selesai solat Jumaat?

“Maklum balas khalayak perlu dicari, bukan ditunggu dan pencarian itu mestilah dengan jiwa besar serta fikiran terbuka ke arah penambahbaikan dan peningkatan kualiti khutbah Jumaat,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Munif menekankan kepentingan pembabitan golongan pemikir dalam penghasilan teks khutbah bagi membantu dari segi pemilihan kata, penjajaran makna dan ketepatan fakta.

“Misalnya dari segi penjajaran makna, terdapat khatib mentafsirkan makna perkataan ‘ulama’ pada ayat 28 Surah Fatir dengan makna literal ulama lazim difahami, iaitu orang berilmu dan pakar hal agama Islam serta berlatarbelakangkan ilmu pengajian Islam, seperti syariah dan usuluddin.

“Bagaimanapun, makna konseptual dan kontekstual ulama ialah orang berilmu dan akar agama Islam serta berlatarbelakangkan apa juga ilmu dan ilmu itu membawanya ‘takut’ kepada Allah SWT.

“Pentafsiran dengan makna literal oleh khatib seperti ini perlu diperbetulkan kerana dari segi ketepatan fakta, ketakutan kepada Allah SWT tidak terbatas kepada orang berilmu berlatarbelakangkan ilmu pengajian Islam sahaja,” tegasnya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts