Adakah dikira sebagai korban sekiranya hanya sedekah nilainya sahaja tanpa ada sembelihan?

Assalamualaikum ustaz, saya ada soalan. Saya ingin bersedekah dengan nilai satu bahagian daging korban, adakah saya dikira melakukan ibadah korban? Bagaimana pula sekiranya saya hanya beli daging di pasar dan kemudian saya sedekahkannya? Adakah ini juga dikira sebagai ibadah korban?

Jawapan Ringkas

Bersedekah dengan nilai bahagian korban sahaja tidak dianggap melakukan ibadah korban kerana ibadah korban merupakan ibadah khusus dan mempunyai tatacaranya iaitu menyembelih haiwan seperti unta, lembu, biri-biri dan kambing. Tambahan lagi, ibadah korban adalah lebih afdal berbanding bersedekah dengan nilainya sahaja. Oleh itu, sekiranya seseorang mempunyai wang yang mencukupi untuk mengambil bahagian dalam korban, adalah lebih baik untuk dia menggunakan wang tersebut untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban.

Huraian Jawapan

Ibadah korban dan sedekah adalah amalan yang mendatangkan pahala. Namun begitu, terdapat perbezaan yang jelas di antara ibadah korban dan sedekah. Dr Muhammad Zuhayli menyatakan bahawa korban adalah melakukan sembelihan pada haiwan seperti unta, lembu, biri-biri dan kambing pada hari raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dr Muhammad Zuhayli menukilkan seperti berikut:

‌ما ‌يذبح ‌من ‌الإبل والبقر والغنم والمعز، تقربا إلى الله تعالى في يوم العيد وأيام التشريق.

Maksudnya: (Korban) adalah haiwan yang disembelih yang terdiri daripada unta, lembu, biri-biri dan kambing untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala pada hari raya (Aidiladha) dan hari-hari tasyrik. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 477/2)

Manakala sedekah pula bermaksud pemberian tanpa balasan oleh seseorang kepada orang lain dan pemberi hanya mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT sahaja. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 175/3)

Selain itu, ibadah korban adalah merupakan ibadah yang khusus seperti solat. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Surah al-Kauthar

Para ulama tafsir menerangkan bahawa ayat di atas memberi isyarat bahawa ibadah korban adalah ibadah khusus seperti solat kerana kedua-duanya di sebut secara khusus oleh Allah SWT. Kedua-kedua ibadah khusus itu adalah sebaik-baik ibadah untuk dilakukan. (Rujuk Tafsir al-Maraghi 253/30; Tafsir al-Sa’di h.935)

Tambahan lagi, orang yang melakukan ibadah korban disunatkan untuk memakan 1/3 daripada bahagiannya dan kemudian baki 2/3 lagi disedekahkan kepada orang miskin. Adapun yang lebih afdal, keseluruhan daging tersebut disedekahkan kesemuanya dan ianya adalah lebih dekat dengan takwa. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 134-135/6)

Oleh itu, dapat dilihat di sini perbezaan antara ibadah korban dan sedekah. Ibadah korban merupakan ibadah yang khusus. Orang yang melakukan ibadah korban akan mendapat pahala atas sembelihannya dan juga pahala atas daging yang disedekahkan. Manakala orang yang bersedekah hanya memperoleh pahala atas apa yang disedekahkan sahaja dan pahala sedekah itu tidak menyamai fadilat ibadah korban yang khusus.

Kesimpulan

Bersedekah dengan nilai bahagian korban sahaja tidak dianggap melakukan ibadah korban kerana ibadah korban merupakan ibadah khusus dan mempunyai tatacaranya iaitu menyembelih haiwan seperti unta, lembu, biri-biri dan kambing. Tambahan lagi, ibadah korban adalah lebih afdal berbanding bersedekah dengan nilainya sahaja. Oleh itu, sekiranya seseorang mempunyai wang yang mencukupi untuk mengambil bahagian dalam korban, adalah lebih baik untuk dia menggunakan wang tersebut untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban.

Wallahualam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts