- Rasulullah ﷺ mendidik kita supaya kosisten dalam membaca al-Quran. Baginda ﷺ membayangkan bahawa kedudukan kita di akhirat dilihat kepada ayat terakhir yang kita baca. Sabda Nabi:
اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ ، كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا ، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا
“Bacalah al-Quran dan naiklah (ke syurga atau kedudukanmu) serta bacalah secara tartil sebagaimana engkau membacanya di dunia ini. Sesungguhnya kedudukan dan tempat tinggalmu (di syurga) berdasarkan akhir ayat yang engkau baca”. (HR. Imam Tirmidzi dan Abu Daud)
- Baginda ﷺ juga dikatakan sering memperdengarkan al-Quran dalam pelbagai keadaan. Dalam menerangkan keadaan ini Saidina Ali menceritakan bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَا لَمْ يَكُنْ جُنُبًا
“Sesungguhnya Rasulullah membacakan kepada kami al-Quran dalam setiap keadaan melainkan keadaan berjunub.” (HR al-Tirmizi).
- Rasulullah ﷺ juga mendidik kita supaya membaca al-Quran di mana sahaja. Abdullah ibn Mughaffal pernah melihat Baginda membaca surah al-Fath di atas kenderaan (tunggangan) Baginda Nabi. Kata Abdullah:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ عَلَى نَافَتِهِ وَهُوَ يَقْرَأُ سُورَةَ الْفَتْح
“Aku melihat Rasulullah pada hari Fath Mekah membaca Surah al-Fath di atas untanya.”
- al-Imam al-Bukhari pula merekodkan hadith yang menggambarkan bagaimana Rasulullah ﷺ membaca al-Quran dalam keadaan bersandar dipangkuan Aisyah. Kisah ini diceritakan oleh Aisyah sendiri. Kata beliau:
ﺃﻥ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻛﺎﻥ ﻳﺘﻜﺊ ﻓﻲ ﺣﺠﺮ ﻋﺎﺋﺸﺔ ﻭﻳﻘﺮﺃ ﺍﻟﻘﺮﺁﻥ
“Sesungguhnya Nabi ﷺ bersandar dipangkuanku Aisyah membaca al-Quran. (HR al-Bukhari)
Berdasarkan hadith ini, al-Imam al-Nawawi berkata, harus membaca al-Quran dalam keadaan apa sekalipun samada berjalan, duduk atau berbaring. (Sharh Sahih Muslim).
- Lihatlah bagaimana Baginda Nabiﷺ mendidik para sahabat supaya membaca al-Quran dimana sahaja. Namun perlu diingat juga bahawa terdapat tempat atau adab yang perlu dijaga dalam membca al-Quran. Antara tempat yang tidak dibenarkan adalah seperti di dalam tandas dan bilik air, iaitu tempat-tempat yang tidak sesuai bagi menjaga kesucian al-Quran itu sendiri.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM