Ibadah Korban merupakan aktiviti tahunan yang dilaksanakan oleh umat Islam saban tahun. Ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub) serta menzahirkan rasa syukur kepada Allah S.W.T atas segala nikmat-Nya. Di samping memberi sedekah kepada golongan yang memerlukan.
Anak-anak juga pasti teruja setiap kali datangnya Hari Raya Aidiladha untuk melihat haiwan sembelihan. Maka jangan lepaskan peluang untuk menanam nilai-nilai keimanan dalam diri mereka melalui ibadah korban ini, berikut dikongsikan 5 cara mendidik anak menghayati ibadah korban
- Berkomunikasi Dengan Anak-Anak.
Kisahkan pada mereka sejarah ibadah korban iaitu kisah ketaatan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S terhadap perintah Allah walaupun terpaksa mengorbankan sesuatu yang disayangi.
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاء اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (Surah As-Saffat: 102)
Ajak anak-anak bersama-sama menghayati kisah Nabi Allah yang taat dan sabar melalui potongan ayat ini.
2. Terangkan bahawa korban adalah Ibadah Yang Dicintai Allah
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mu’minin Aisyah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya:“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
Jelaskan pada anak-anak bahawa walaupun ibadah korban hukumnya sunnah muakkad, tetapi ia merupakan satu ibadah yang dicintai Allah pada Hari Raya Aidiladha dan memperoleh ganjaran yang besar bagi mereka yang melaksanakannya.
3. Bawa Mereka Saksikan Proses Sembelihan Korban.
Beri pengalaman kepada anak-anak menyaksikan sendiri proses sembelihan dijalankan. Anak-anak perlu difahamkan bahawa Islam amat menitik beratkan belas kasihan (ihsan) terhadap haiwan, sabda Rasulullah S.A.W :
عن أبي يعلى شداد بن أوس رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: ان الله كتب الاحسان على كل شيء فاذا قتلتم فأحسنو القتلة واذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة وليحد أحدكم شفرته وليرح ذبيحته
(رواه مسلم)
Maksudnya: Daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan atas semua perkara. Jika kamu membunuh, berlaku ihsanlah ketika membunuh dan jika kamu menyembelih, berlaku ihsanlah ketika menyembelih. Kamu hendaklah menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan sembelihan.” (HR Muslim)
Dalam Islam, terdapat peraturan yang harus dilakukan untuk memastikan sembelihan itu diterima. Islam tidak mengajar untuk bertindak sesuka hati terhadap haiwan, oleh itu para penyembelih perlu memenuhi syarat sah sembelihan yang telah digariskan:
- Alat sembelihan mestilah diasah tajam. Tujuan penggunaan alat sembelihan yang tajam adalah untuk mempercepatkan sembelihan agar haiwan tersebut mati dengan serta merta dan tidak merasa sakit.
- Saluran pernafasan, kerongkong dan saluran darah haiwan tersebut mestilah dikerat.
- Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala haiwan tersebut dibuang. Pengeluaran darah ini bertujuan mengelakkan haiwan daripada mudah dijangkiti bakteria.
Cara sembelihan yang dianjurkan Islam sangat teliti dan tidak menyiksa haiwan seperti kaedah-kaedah lain yang digunakan oleh selain umat Islam.
4. Sedekah Harta Yang Disayangi
Sepertimana kisah korban putera Nabi Adam A.S yang diminta memberikan korban yang terbaik yang tercatat di dalam Surah Al-Maidah ayat 27 :
۞ وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَاَ ابْنَيْ اٰدَمَ بِالْحَقِّۘ اِذْ قَرَّبَا قُرْبَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ اَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْاٰخَرِۗ قَالَ لَاَقْتُلَنَّكَ ۗ قَالَ اِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللّٰهُ مِنَ الْمُتَّقِيْنَ
Maksudnya :“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al-Maidah : 27)
Kedua putera Nabi Adam A.S yang dipertintahkan untuk mengorbankan hasil tanaman dan ternakan mereka. Habil mempersembahkan hasil yang terbaik, manakala Qabil mempersembahkan korban yang tidak baik. Maka korban Habil yang diterima kerana keihlasannya.
Berdasarkan kisah ini anak-anak boleh dilatih untuk mengorbankan harta yang disayangi kepada orang lain demi untuk mendapat keredhaan Allah dan balasan yang lebih baik di akhirat.
5. Buat Tabung ‘Korban’ Keluarga
Agar tidak terlepas peluang melaksanakan ibadah sunnah ini, ibubapa boleh mengajak anak-anak mewujudkan satu tabung ‘Korban’ di rumah untuk mengumpul wang bersama-sama. Hasilnya nanti akan dikeluarkan untuk menyertai Ibadah Korban pada tahun akan datang. Latihan ini juga dapat mendidik anak-anak untuk menyalurkan wang kepada perkara yang lebih bermanfaat. Sabda Rasulullah S.A.W
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
“Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain” (HR Ibn Hibban).
Demikianlah 5 cara mendidik anak menghayati ibadah korban yang dapat dikongsikan disini. Semoga generasi kita dapat memahami makna dan tujuan setiap ibadah itu disyariatkan, bukan sekadar rutin harian atau tahunan semata-mata. Bahkan ia adalah jalan-jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperoleh keredhaanNya.
Ustazah Zainab Husna Hussen
Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM