Hukum berhutang bagi mengerjakan ibadah korban

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya. Terdapat di internet sekarang ini pihak-pihak yang mempromosi menunaikan ibadah korban dan akikah secara ansuran. Jadi pertanyaan saya, bolehkah seseorang itu berhutang bagi mengerjakan ibadah korban atau akikah dan adakah sah ibadah tersebut ?

Ringkasan Jawapan

Tidak digalakkan untuk berhutang bagi tujuan melakukan ibadah korban atau akikah kerana tuntutan untuk melakukannya adalah pada orang yang mampu melakukannya menggunakan wang sendiri. Demikian juga kerana Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan dirinya. Namun begitu, sekiranya seseorang yakin bahawa dia mampu membayar hutang tersebut dan tidak akan terbeban dengannya, maka dia diharuskan untuk dia menggunakan pakej akikah dan korban secara ansuran yang ditawarkan.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Al-Kauthar; 108: 2

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Imam al-Qurtubi menafsirkan bahawa maksud ayat ini ialah pelaksanaan solat sunat Hari Raya Aidiladha dan juga ibadah korban sesudahnya. Selain itu, terdapat juga sabda Nabi Muhammad SAW yang turut menganjurkan amalan berkorban ini, Baginda bersabda:

»مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا«

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).

Riwayat al-Tirmizi (1493)

Oleh yang demikian, tatkala tiba hari raya korban, sudah tentunya ramai daripada kalangan individu Muslim ingin meraikan hari yang mulia ini dengan turut menyembelih korban sebagai suatu usaha memenuhi anjuran syarak di samping menuruti sunnah Nabi Muhammad SAW.

Perintah untuk mengerjakan ibadah korban ini merupakan sunat muakkad dan ia amat digalakkan ke atas mereka yang berkemampuan agar melaksanakannya. Maksud berkemampuan di sini ialah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya, sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari raya dan hari tasyrik.

Oleh itu, timbul persoalan bagi mereka yang tidak mampu melaksanakannya, adakah dibolehkan bagi mereka untuk berhutang bagi tujuan mengerjakan ibadah korban tersebut?

Pada dasarnya, tuntutan beribadat di dalam agama Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan manusia. Allah SWT berfirman:

مَا يُرِيدُ اللَّـهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَـٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Al-Maidah; 5: 6

Maksudnya: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

Selain daripada itu, berhutang akan membebankan diri seseorang. Terdapat ancaman yang menunjukkan bahawa roh orang yang tidak melangsaikan hutang akan tergantung daripada tempat yang sepatutnya seperti mana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: “Roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.”

Riwayat al-Tarmizi (1078) dan Ibn Majah (2413) [Imam al-Tarmizi menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih dalam Sunannya]

Walau bagaimanapun, melaksanakan korban dengan cara berhutang tetaplah sah disisi syarak. Hal ini kerana, berkemampuan bukanlah syarat sah ibadah korban sebaliknya ia merupakan syarat taklif.

Pada masa kini, terdapat beberapa gambaran orang berhutang bagi melaksanakan ibadah korban, antaranya ialah:

  1. Berhutang dengan orang lain sejumlah wang kemudian menggantikannya semula sama ada secara ansuran atau secara ‘lump sum’.
  2. Menggunakan platform buy now pay later. Seseorang akan berhutang dengan penyedia platform tersebut untuk mendapatkan pakej korban yang disediakan pihak vendor. Kemudian dia membayar secara ansuran kepada penyedia platform buy now pay later.
  3. Menggunakan kad kredit.

Pandangan fuqaha telah jelas menyatakan bahawa orang yang berkemampuan adalah orang yang dituntut (sunat muakkad) untuk melakukan ibadah korban dan orang yang tidak mempunyai kemampuan tidaklah dituntut untuk melaksanakannya. Justeru itu, seseorang itu tidak perlu berhutang semata-mata untuk melaksanakan ibadah ini sekiranya tidak mampu.

Walau bagaimanapun, melaksanakan korban dengan cara berhutang tetaplah sah disisi syarak. Hal ini kerana, berkemampuan bukanlah syarat sah ibadah korban sebaliknya ia merupakan syarat taklif. Hal ini ada kami sebutkan dalam artikel kami yang bertajuk Irsyad Fatwa Haji Dan Korban Siri Ke-49: Hukum Orang Tidak Berkemampuan Ingin Melaksanakan Korban.

Penutup

Tidak digalakkan untuk berhutang bagi tujuan melakukan ibadah korban kerana tuntutan untuk melakukannya adalah pada orang yang mampu melakukannya menggunakan wang sendiri. Ia juga kerana Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan dirinya. Namun begitu, sekiranya seseorang yakin bahawa dia mampu membayar hutang tersebut dan tidak akan terbeban dengannya, maka dibolehkan untuk dia menggunakan pakej akikah secara ansuran yang ditawarkan.

Akhir kalam, kami mendoakan agar kita semua dapat diberikan ilmu dan kefahaman dalam menjalankan perintah Allah SWT.

Wallahualam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts