Ada yang tanya soalan pada saya, betul ke pasangan suami isteri yang dah bercerai boleh tinggal satu rumah? Diorang kata dalam drama “Perempuan Itu”, main character dia tinggal satu rumah walau dah bercerai kononnya masih dalam iddah jadi hubungan tu masih lagi suami isteri.
Mengikut Mazhab Syafiee, pasangan suami isteri yang sudah bercerai tidak boleh tinggal sekali. Malah boleh dihukum khalwat sekiranya tinggal sekali. Aurat pun mesti dijaga seperti dengan bukan muhrim.
Adapun, Mazhab Hanafi membenarkan pasangan suami isteri tinggal sekali. Ini untuk menimbulkan kasih sayang dan menggalakkan rujuk berlaku semula. Ini bagi talaq rajie iaitu talaq yang boleh dirujuk. Sebab itu penting sekiranya suami sudah melafazkan lafaz cerai di luar mahkamah, suami atau isteri (sebaiknya suami) perlu segera membuat pengesahan lafaz cerai di Mahkamah.
Kadang kita rasa-rasa tidak jatuh lafaz itu, tetapi sebenarnya talaq jatuh. Kadang kita rasa kita lafaz talaq yang boleh dirujuk rupanya sudah tiga (3) kali kita pernah lafaz talaq. Tapi kita yang tidak ingat. Begitulah.
Adapun begitu, di Malaysia yang menggunakan Mazhab Syafie, saya menasihatkan semua untuk berpegang dengan Mazhab Syafie ini. Bagi pandangan saya, suami isteri yang telah berpisah, maka suami isteri tersebut tidak boleh tinggal sekali.
Maka, menjadi persoalan di sini siapa yang perlu keluar rumah? Jawapannya, mengikut Surah At-Talaq dan peruntukan undang-undang, suami perlu keluar dari rumah kelamin kerana isteri mempunyai hak untuk tinggal di rumah kelamin tersebut selagi mana dalam tempoh iddah. Selepas habis iddah, suami boleh ambil semula balik rumah itu.
Tapi kan Puan, saya yang bayar rumah kelamin tu? Boleh ke saya nak keluar rumah kelamin sebab saya tak nak bayar rumah tu. Kenapa saya pula kena bayar untuk dia sekali?
Kesian, hikmah Allah suruh isteri tinggal rumah kelamin, sebab tidak mahu susahkan isteri kerana suami masih perlu bayar nafkah kepada isteri dalam tempoh iddah. Tetapi ini isteri pula yang tanggung nafkah diri serta nafkah suami sekali.
Berkaitan rujuk pula, sekiranya cerai tersebut masih boleh dirujuk (talaq rajie) dan masih dalam tempoh iddah, kemudian sekiranya timbul semula perasaan kasih sayang antara suami isteri tersebut, dan sekiranya rujuk itu baik untuk kedua-dua pihak, maka rujuklah. Akan tetapi rujuk mestilah dilafazkan. Mazhab Syafie mengatakan rujuk perlulah secara lafaz. Bukan perbuatan dan sebagainya. Selepas lafaz rujuk oleh suami tersebut, maka suami dan isteri secepatnya hendaklah ke Pejabat Agama bagi mengesahkan dan mendaftarkan rujuk mereka. Kemudian, barulah suami kembali ke rumah dan hidup semula sebagai suami isteri.
Rujuk ini memang kuasa suami. Mengikut Mazhab Syafiee rujuk sah walaupun tanpa izin isteri. Oleh itu, para suami hendaklah merujuk dengan niat yang baik, mengambil kira kemaslahatan isteri, dan rujuk lah dengan ihsan. Sekiranya suami tahu, sememangnya isteri tidak boleh hidup bersama dengan suami lagi, maka berilah isteri menghabiskan iddahnya dengan sempurna.
Hal hubungan suami isteri, hati perasaan ini hanya suami isteri dan Allah sahaja yang tahu. Kahwin ini Allah Taala merupakan saksinya. Hal cerai dan rujuk pun sebenarnya Allah jua lah saksinya. Maka bertaqwalah Allah dalam urusan rumahtangga, semoga Allah Taala akan mudahkan dan memberi jalan keluar yang tidak disangka-sangka di dunia ini.
Ustazah Maryam Shakirah bt Zulfakar
Peguam Syarie – Sumber MUIS
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM