SEREMBAN: Sebuah Pusat Akademi Tarannum Negeri Sembilan (AKTAR) akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri dalam usaha memantapkan bacaan al-Quran semua golongan masyarakat serta melahirkan qari terbaik di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, AKTAR sebenarnya telah bermula pada tahun 2000 di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
“Kita berhasrat menyediakan satu pusat khusus untuk mereka yang ingin membaca al-Quran secara taranum di Paroi, Seremban.
“Dengan penubuhan pusat AKTAR ini, diharap dapat diperluaskan (taranum) bukan sahaja untuk golongan dewasa tetapi anak-anak muda bagi melatih mereka membaca al-Quran dengan baik seterusnya mewakili Negeri Sembilan (sebagai qari dan qariah) pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd. Yusof, Sikamat di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Program ‘Fast Track’ Celik Al-Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023.
Yang turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dr. Roslan Hussin.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, selain bidang akademik, menjadi sasaran kerajaan negeri untuk melahirkan anak-anak muda celik al-Quran terutama selepas peringkat sekolah rendah atau darjah enam.
“Secara peribadi, saya menyambut baik Program ‘Fast Track’ Celik Al-Quran dan bersetuju diteruskan bagi memastikan anak-anak mendapat bimbingan yang betul bagi mengelakkan mereka gagal membaca al-Quran pada masa hadapan.
“Biar kita betulkan (bacaan al-Quran) ini di peringkat sekolah rendah supaya mereka menjadi ‘insan kamil’ yang mendapat kebahagian di dunia dan akhirat,” katanya.
Program ‘Fast Track’ Celik Al-Quran Sekolah-Sekolah KPM Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 melibatkan 300 murid bermula pada 4 Julai hingga 7 Julai anjuran Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU) dan MAINS.-UTUSAN.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM