Baru-baru ini telah muncul beberapa video yang dikongsi oleh warganet mengenai pengakuan atau dakyah yang disebarkan oleh pengikut ajaran sesat ‘si hulk’ mengatakan bahawa ALLAH itu Nabi Muhammad dan Nabi Muhammad itu adalah ALLAH.
Ketuanya iaitu Suhaini Mohammad telah berkali-kali mengucapkan secara terbuka bahawa ALLAH adalah Muhammad dan giat mengajarkan kepada pengikutnya.
Menurut kenyataan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada tahun 2021 ajaran ‘si Hulk’ ini telah diharamkan dan diwartakan sesat namun hari ini ia kembali aktif.
Mereka menyebarkan ajaran ini melalui produk air Sihulk yang dilatari dengan propaganda membesar-besarkan pencipta produk dan teori-teori konspirasi dooms day.
Kini Suhaini telah lari ke New Zealand dan murid-muridnya pula semakin aktif dan berani menyebarkan penyelewengan yang tidak masuk dek akal ini.
Rentetan isu ini, ramai agamawan yang lantang bersuara kerana ia melibatkan akidah umat Islam dan menyeru pihak berkuasa membanteras ajaran ini sehabisnya.
Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed menerusi satu hantaran video di laman media sosial miliknya berharap kepada pihak berkuasa agar dapat mencari pengasas dan pengikutnya untuk diperbaiki kembali akidah mereka.
“Kepada pengasas ‘si hulk’ jangan sampai rakyat Malaysia yang Muslim ini mencari sendiri mereka untuk diberikan hukuman kerana di negara kita sudah tertakluk undang-undang mengenai ajaran sesat ini.
“Mereka berani membuat satu dakwaan sesat dan boleh membawa mereka kepada murtad!! Ini isu akidah dan mereka sedang sebarkan dalam sosial media.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, bersama-sama kita mencari pengasas ini dan maklumkan kepada pihak berkuasa dan jika pihak sepatutnya lambat bertindak maka perkara ini perlukan umat Islam untuk ke hadapan,” kongsi Pu Syed.
Ini isu akidah
Fahaman ini sangat menyentuh sensitiviti umat Islam dan memahami ayat al-Quran sewenang-wenangnya, bahkan ia berkait dengan akidah.
Sikap “tak apa” dan tidak cakna terhadap isu ini bakal mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada umat Islam, sebagaimana ditegaskan oleh Ustazah Asma’ Harun.
Ujarnya, di media sosial hari ini, serangan terhadap agama Islam berlaku sangat hebat. Kebatilan dan kebenaran seakan bercampur aduk dan menyebabkan masyarakat menghadapi kekeliruan yang sangat besar.
“Maka, sebelum bibit ini berakar umbi dan meracuni generasi kita akan datang, umat Islam perlu lebih cakna dan berilmu untuk menghalang daripada berlaku pertembungan serta salah faham tentang agama Islam dan Rasulullah SAW yang mulia.
“Kita perlu tahu tentang kewujudan ideologi sesat ini dan perlu sentiasa berwaspada. Hari ini kita melihat segelintir yang terlibat mempromosikan ajaran ini ada dalam kalangan anak muda, ia sangatlah bahaya.
“Jika ada terlihat anak-anak terlibat banteraslah segera. Perhatikanlah sekeliling kita dan apa yang anak-anak kita ikuti terutamanya di media sosial.
“Adakah kita menjamin anak-anak kita selamat? Orang sekeliling kita selamat? Sedangkan siapa sangka mereka boleh sahaja terlibat dan terpengaruh tanpa pengetahuan kita.
“Saya bukan ingin menakutkan, ini juga peringatan keras untuk diri saya sendiri. Kita perlu bangkitkan kesedaran Islam yang sebenar buat anak-anak dan orang sekeliling.
“Semoga ALLAH SWT sentiasa membimbing dan memelihara kita semua agar sentiasa terhindar daripada dosa-dosa maksiat dan kemungkaran yang berleluasa,” katanya.
Ustazah Asma’ turut menitipkan satu doa untuk diamalkan agar sentiasa ditetapkan di atas jalan agama dan dijauhkan daripada sebarang kemaksiatan.
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
Maksudnya: “Ya ALLAH, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-MU.” (Hadis Riwayat Muslim)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM