Kisah penghijrahan Rasulullah SAW bersama para sahabat menjadi titik tolak dalam pembentukan Daulah Islamiyyah dari pelbagai sudut antaranya dari sudut keluarga, masyarakat, politik dan ekonomi. Kejayaan yang berlaku hasil daripada seorang hamba dan masyarakat yang tunduk dan patuh kepada Allah SWT dan hidup dalam sistem yang berpandukan pada syariat Islam.
Merenung kembali kisah penghijrahan Rasulullah bersama saidina Abu Bakr RA, penghijrahan itu bukan berlaku antara Rasulullah dan Abu Bakar sahaja, di belakang perjalanan tersebut sahabat dan sahabiyah bersama menjalankan “misi” penghijrahan tersebut. Antaranya ialah Abdullah b Abu Bakar, Asma binti Abu Bakar dan juga Amir bin Fuhairah. Bagaimana dua orang anak saidina Abu Bakar bersama membantu perjalanan penghijrahan Baginda s.a.w dan ayahandanya.
Kisah tersebut kita boleh lihat keberhasilan dakwah islamiah pada peringkat permulaan berlaku pada keluarga saidina Abu Bakar, dimana berjaya membentuk sebuah keluarga yang berlandaskan akidah dan keimanan kepada Allah SWT. Kerana penghijrahan yang sebenar bukanlah sekadar berhijrah satu tempat ke suatu tempat yang lain tetapi yang paling besar adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW, daripada Abdullah bin Amru, Rasulullah SAW bersabda:
“والمهاجر من هجر ما نهى الله عنه”
“Sebenarnya orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT”
Hadis ini membawa maksud perjalanan kehidupan kita perlu tunduk dan beriman kepada Allah SWT. Dan perkara ini diaplikasikan dan terbukti dalam kehidupan keluarga para sahabat dan juga keluarga saidina Abu Bakar.
Kehidupan berumahtangga dan berkeluarga merupakan satu ladang dan tempat untuk kita membina keluarga yang bahagia, harmoni serta keluarga yang berlandaskan panduan hidup seorang muslim yang sebenar dari sudut akidah, syariah dan akhlak. Ia adalah dasar sesuatu hubungan yang mendekatkan diri kepada Allah dan ia juga tidak berlaku jika tiada kerjasama dan peranan antara semua pihak samada sebagai seorang suami, isteri dan juga anak.
Jadi, ada beberapa peranan ibubapa dalam membentuk “penghijrahan” kehidupan keluarga yang lebih baik untuk membangun ummah islamiyyah akan datang.
- Suami atau ayah berperanan besar dalam membentuk sebuah keluarga yang mendapat rahmat dan diredhai Allah SWT
{ ٱلرِّجَالُ قَوَّ ٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَاۤءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضࣲ وَبِمَاۤ أَنفَقُوا۟ مِنۡ أَمۡوَ ٰلِهِمۡۚ }
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Selain menjadi pemimpin dan memberi nafkah kepada keluarga, suami atau ayah berperanan dalam membentuk akidah dan membina akhlak keluarga dengan sejahtera. Konsep ketaqwaan kepada Allah yang perlu dibina dan disemat dalam diri isteri dan anak-anak agar melahirkan susuk tubuh yang berkualiti dan holistik.
- Menghidupkan suasana ibadah di dalam rumah antaranya (solat jemaah, tadarus alquran, tazkirah keluarga) dan membuat amar makruf nahi mungkar
{ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةࣱ یَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَیۡرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ }[Surah Āli-ʿImrān: 104]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Amar makruf dan nahi mungkar adalah satu perkara biasa kita dengar dan tahu teorinya. Akan tetapi pelaksanaannya bukanlah semudah yang kita tahu, ia memerlukan praktikal yang sentiasa dan paling dekat adalah bermula dengan orang sekeliling iaitu dirumah
- Mengajar anak-anak untuk menjaga akhlak dan adab pergaulan sesama manusia termasuk jiran. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’:
{ ۞ وَٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُوا۟ بِهِۦ شَیۡـࣰٔاۖ وَبِٱلۡوَ ٰلِدَیۡنِ إِحۡسَـٰنࣰا وَبِذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱلۡجَارِ ذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡجَارِ ٱلۡجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلۡجَنۢبِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِ وَمَا مَلَكَتۡ أَیۡمَـٰنُكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ مَن كَانَ مُخۡتَالࣰا فَخُورًا }
[Surah An-Nisa: 36]“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;”
Akhlak di luar rumah membentuk peribadi dan kehidupan bagaimana kita di rumah. Peranan ibubapa dalam menyemai akhlak Islam dalam diri anak-anak sangat penting dan perlu dititikberatkan dalam membentuk imej seorang muslim yang berakhlak mulia.
Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat al-Bukhari: 1385)
Oleh itu, marilah sama-sama kita berazam pada tahun baru dan mengambil ibrah dari penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat terdahulu dalam membentuk peribadi dan keluarga “role model” yang bahagia dan diredhai Allah SWT.
Ambillah peranan dan posisi masing-masing dalam keluarga untuk membentuk sebuah ummah fadilah yang kuat dan berpegang teguh pada Al-Quran dan As-Sunnah serta ummah yang hidup berlandaskan syariat agama Islam.
Ustazah Nur Anis binti Bahrin
Penyelidik MUIS
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM