Soalan
Assalamualaikum, betulkah terdapat lafaz “munafik” dalam hadis yang menyebutkan bahawa orang yang berasa berat untuk solat Isyak dan Subuh itu adalah munafik? Selain itu, boleh saya tahu juga hadis ini disebutkan dalam kitab apa saja? Mohon pencerahan, terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Benar terdapat lafaz “munafik” dalam hadis ini dan kewajipan solat berjemaah ini adalah kewajipan yang ditetapkan pada zaman awal Islam bertujuan mencegah golongan munafik daripada meninggalkan solat. Hal ini kerana, apabila mereka bersendirian mereka tidak akan mendirikan solat. Kemudian, kewajipan tersebut telah dimansukhkan dalam Islam. Meskipun begitu, solat berjemaah di masjid amat dituntut dalam Islam kerana ganjarannya melebihi solat secara bersendiri menurut hadis Nabi SAW.
Huraian Jawapan
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَثْقَلَ الصَّلاةِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ، صَلاةُ الْعِشَاءِ الآخِرَةِ، وَصَلاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا، لأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا
Maksudnya: Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jikalau mereka mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.
Riwayat Ahmad
Hadis ini juga diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis yang lain seperti Sahih al-Bukhari, Sunan al-Nasa’i, Sunan Ibn Majah, Sahih Ibn Khuzaimah dan lain-lain karya hadis muktabar.
Sebenarnya apa yang nak dimaksudkan dalam hadis ialah setiap waktu solat bagi orang munafik adalah berat dan ia tidak tertumpu kepada waktu Isyak dan subuh sahaja. Perkara ini sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Munawi, kata beliau:
أثقل أن الصلوات كلها ثقيلة على المنافقين
Maksudnya: Setiap solat bagi orang-orang munafik itu adalah paling berat.
Kemudian, beliau menukilkan satu ayat al-Quran, firman Allah SWT:
وَلا يَأْتُونَ الصَّلاةَ إِلا وَهُمْ كُسَالَىٰ
Maksudnya: dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan dengan keadaan malas.
Surah al-Taubah (54)
Al-Zarqani menyebutkan dalam syarah kitab Muwatta’ al-Imam Malik bahawa Abu Darda’ ketika sakit hendak meninggal dunia menyebutkan bahawa:
اسْمَعُوا وَبَلِّغُوا، حَافِظُوا عَلَى هَاتَيْنِ الصَّلاتَيْنِ يَعْنِي فِي جَمَاعَةٍ الْعِشَاءِ وَالصُّبْحِ وَلَوْ تَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لأَتَيْتُمُوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا عَلَى مَرَافِقِكُمْ وَرُكَبِكُمْ
Maksudnya: Dengarkan dan sampaikanlah, peliharalah dua solat jemaah ini iaitu Isyak dan Subuh. Kalaulah kamu mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya kamu akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak di atas siku-siku dan lutut-lutut kamu.
Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa agama Islam amat menggalakkan solat berjemaah pada kedua waktu ini iaitu Isyak dan Subuh. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Muhammad Amin al-Harari ketika mensyarahkan hadis berkenaan solat al-ʻatamah(solat Isyak). Kata beliau:
وفي الحديث الحث العظيم على حضور جماعة هاتين الصلاتين لما في ذلك من الفضل الكثير لما فيهما من المشقة على النفس من تنقيص أول نومها وآخره ولهذا كانتا أثقل الصلاة على المنافقين
Maksudnya: Hadis ini memberikan galakan hebat untuk solat berjemaah pada dua solat tersebut(Isyak dan Subuh). Sedangkan padanya terdapat ganjaran yang besar kerana waktu tersebut merupakan waktu yang susah ke atas jiwa (manusia) seperti mengurangkan tidurnya di awal malam dan akhirnya (sebelum Subuh). Solat-solat inilah merupakan solat yang paling berat bagi orang-orang munafik.
Hadis ini juga menunjukkan kewajipan solat berjemaah yang diwajibkan pada awal Islam bertujuan mencegah golongan munafik daripada terus meninggalkan solat. Hal ini kerana, apabila mereka tidak berjemaah maka mereka akan meninggalkan solat tersebut. Kemudiannya, hukum wajib solat berjemaah ini telah dimansukhkan.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada soalan di atas memang benar terdapat lafaz “munafik” dalam hadis ini. Namun, kewajipan solat berjemaah ini adalah kewajipan yang ditetapkan pada zaman awal Islam bertujuan mencegah golongan munafik daripada meninggalkan solat. Hal ini kerana, apabila mereka bersendirian mereka tidak akan mendirikan solat. Kemudian, kewajipan tersebut telah dimansukhkan dalam Islam. Meskipun begitu, solat berjemaah amat dituntut dalam Islam kerana ganjarannya melebihi solat secara bersendiri menurut hadis Nabi SAW. Wallahuaʻlam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM