Berdosakah jika kita terlupa ayat al-Quran yang pernah dihafal?

Kebanyakan daripada kita pasti tidak lari daripada tugasan menghafal al-Quran atau surah-surah tertentu sewaktu di bangku sekolah dahulu. Ada yang menjadikannya sebagai subjek wajib untuk diikuti, manakala segelintir memasuki kelas hafazan secara sukarela.

Apa pun sebabnya, ia adalah suatu tugasan yang murni untuk dilakukan. Hakikatnya, tidak semua orang berpeluang menghafaz quran mungkin disebabkan atas tuntutan keluarga dan sebagainya.

Dalam masa sama, jika anda sudah mengingati suatu surah, jangan ambil mudah sehingga bacaan tersebut hilang daripada ingatan. Tidak dinafikan apabila hafazan itu dilakukan untuk tugasan, ramai yang cenderung melupakannya kerasa sudah tidak mengamalkannya.

Sebaliknya, sisipkan lafaz itu ke dalam rutin seharian seperti membacanya ketika selesai solat atau memperbaharui hafalan pada setiap minggu.

Bukan apa, Nabi SAW sendiri ada menyentuh tentang perkara ini dan mengingatkan agar kita tidak melupakan bacaan al-Quran yang pernah dihafal.

Sabda baginda SAW: “Celakalah bagi sesiapa yang berkata: “Aku lupa ayat al-Quran sekian-sekian,” sebaliknya hendaklah dia berkata “Aku dilupakan daripadanya.”. Sentiasalah membaca dan mengingati al-Quran, kerana ia lebih mudah terlepas daripada daripada dada dan ingatan manusia daripada unta terlepas talinya.” (Hadis Bukhari dan Muslim)

Bahkan, ada pendapat yang mengatakan hukumnya haram melupakan hafazan al-Quran. Tetapi benarkah begitu?

Ya, pandangan tersebut sememangnya dipersetujui para ulama Mazhab Syafie seperti Imam Khatib Syarbini, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan al-Ruyani yang mengatakan
haram hukumnya melupakan hafazan Al-Quran terutamanya jika ia disebabkan oleh kecuaian dan malas.

Malah, sesetengah ulama juga menganggap sebagai salah satu dosa besar.

Walau bagaimanapun, pihak Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat jika kita sudah berusaha memelihara hafalan itu tetapi tetap juga terlupa akibat sifat semulajadi manusia, maka ia tidaklah berdosa.

Katanya, baginda SAW juga pernah melupakan beberapa ayat al-Quran.

“Rasulullah SAW telah mendengar seorang lelaki membaca satu surah dari al-Quran pada suatu malam dan bersabda: “Moga ALLAH merahmatinya, dia telah memperingatkan kepada aku suatu ayat daripada satu surah al-Quran yang telah dilupakan oleh aku.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Walaupun sudah menjadi lumrah manusia memiliki sifat pelupa, namun kita tetap dituntut berusaha memelihara ayat-ayat suci al-Quran yang telah dihafal dalam ingatan.

Jika ia dilupakan secara sengaja tanpa sebarang usaha, maka ia adalah berdosa.

Zaman sekarang, mudah sahaja untuk memelihara surah yang sudah dihafal. Sambil-sambil buat kerja, boleh saja memasang surah tersebut melalui aplikasi di telefon dan sebagainya. Dengan itu, ia boleh membantu anda mengingati surah yang dihafal.-Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts