Kenapa muslim melayu wajib turun mengundi?

Bersempena dengan Pilihanraya Negeri (PRN) yang akan dijalankan di beberapa buah negeri esok, umat Islam amat dituntut agar keluar mengundi demi menentukan masa depan agama Islam, negara dan umatnya.

Statistik Pilihanraya Umum (PRU15) menunjukkan kadar peratusan rakyat keluar mengundi merosot dari 82% kepada 74%. Sebagai umat Islam di Malaysia kita perlu berperanan dan bertanggungjawab dalam menentukan tampuk kepimpinan dan kerajaan yang akan menegakkan agama Islam di negara kita.

Tanggungjawab muslim menyempurnakan kewajipannya

  1.  Kewajipan melantik pemimpin

Sabda Baginda Nabi SAW:


لاَ يَحِلُّ لِثَلَاثَةٍ يَكُوْنُوْنَ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ إِلَّا أَمَّرُوا أَحَدَهُمْ
Maksudnya: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.” [Riwayat Ahmad (2/177) dan Abu Daud (2608, 2609)]

Para ulama telah berijmak tentang kewajipan melantik imam (pemimpin) sepertimana kata Imam al-Nawawi rahimahullah: “Telah ijmak para ulama bahawa wajib atas orang Islam melantik khalifah.” (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 12/205)

Imam al-Ghazali berkata:

الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ

Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.” (Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 128)

Melantik pemimpin terlalu penting dan besar dalam melaksanakan sebuah kerajaan dan pentadbiran yang kukuh serta berpegang teguh dengan prinsip-prinsip agama Islam. Masyarakat muslim melayu berperanan besar untuk menentukan  pemimpin seperti berlaku dalam kalangan para sahabat dan salafussoleh. Mereka terlalu berhati-hati dalam memilih dan memnetukan pimpinan mereka kerana di tangan inilah yang akan membentuk sebuah kerajaan dan juga system berlandaskan agama Islam.

2. Kewajipan mempertahankan agama dan negara

 Mencintai dan memelihara negara menunjukkan 1 kesetiaan yang hakiki wujud dalam diri seseorang yang ikhlas mencintai dari agama,negara dan bangsa. Bukan hanya sekadar berkata-kata tapi perlu kepada praktikal dan kesungguhan dalam diri seseorang.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

(Surah Ali-Imran : 19)

Islam adalah agama yang benar dari setiap aspek dalam kehidupan.

Menurut Abu al-Ma’ali ‘Abd al-Malik bin ‘Abdullah al-Juwaini juga dikenali sebagai Imam al-Haramain:

واجب الإمام نحو أصل الدین. فأما القول في أصل الدین فینقسم إلى: حفظ الدین بأقصى الوسع على المؤمنین، ودفع شبھات الزائغین،

“Kewajipan pemerintah terhadap asas agama. Apabila menyebut mengenai asas agama itu pula dibahagikan kepada: Pemeliharaan agama (Hifz al-Din) iaitu setinggi-tinggi tanggungjawab ke atas orang yang beriman dan menolak syubhat (menjawab keraguan) yang ditimbulkan oleh golongan yang sesat.

[Kitab Ghiyath al-Umam Fi Tiyath al-Zulam, hal.184]

Berdasarkan keterangan tersebut, memelihara agama adalah menjadi tanggungjawab yang besar kepada orang mukmin tidak kira sama ada ia rakyat biasa ataupun seorang pemimpin.

3. Kewajipan muslim untuk turun mengundi

Professor Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Presiden Kesatuan Ulama Sedunia mengulas ketika musim pilihanraya Mesir tentang hukum mengundi:

واجب شرعي، على كل مصري أن يذهب إلى صناديق الانتخاب، من لم يذهب فهو آثم، ارتكب ذنب عند الله، لا تكتموا الشهادة”

Maksudnya: “Hukumnya adalah wajib syarak ke atas setiap warga Mesir untuk pergi ke pos-pos undian untuk mengundi. Barangsiapa yang tidak pergi maka dia melakukan dosa di sisi Allah (berdasarkan ayat al-Quran): “Janganlah kalian menyembunyikan penyaksian kamu.”[1]

Satu kaedah syarak

ما لا يتم الواجب به فهو واجب

Maksudnya: perkara yang menjadi penyempurna kepada perkara wajib, hukumnya juga adalah wajib.

Mengundi adalah salah satu proses atau cara  memilih pemimpin untuk melaksanakan perlembagaan dan undang-undang Islam dalam konteks fiqh politik di Malaysia. Maka tidak dapat tidak mengundi adalah satu kewajipan pada umat islam di Malaysia. Dan menjadi kemudaratan yang besar jika umat muslim tidak turun mengundi kerana masa depan negara dan bangsa terletak pada tanggungjawab kita.

4. Kewajipan menegakkan kuasa politik Islam

Tiada pemisah antara politik dalam Islam. Di dalam syara’ terdapat satu hukum yang dinamakan hukum-hakam siyasah syar’iyyah (politik Islam). Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada pendapat dan ijtihad pemerintah Islam yang benar dan amanah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam.

Al-Quran menunjukan garis panduan yang nyata dalam menegaskan prinsip, konsep dan sistem politik melalui firman Allah SWT:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ  فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa dan mengendalikan urusan) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya; jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Hal yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya). (59).” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Imam Mawardi pula menyebut:

الإمَامَةُ مَوضُوعَة لِخلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنْيَا بِه

Maksudnya: “Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” (Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah, hlm. 5)

Menegakkan khilafah dan daulah islamiyyah memerlukan seorang pemimpin dan masyarakat yang hidup dalam aturan Islam yang melaksanakan undang-undang dan perlembagaan mengikut syariat Islam.

Jadi di ambang PRN ini, marilah kita bersama menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan mengundi. Mengundi juga menjadi persaksian kita kepada Allah SWT dalam memilih pemimpin. Dan tak lain  tidak bukan adalah demi untuk menegakkan keadilan dan memenangkan agama Allah di atas muka bumi.

Wallahua’alam

Ustazah Nur Anis bt Bahrin

Penyelidik MUIS

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts