Solat tahajud merupakan ibadah sunat yang dituntut oleh ALLAH SWT dan para Nabi. Menunaikannya adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut).
Terdapat banyak kelebihan bagi sesiapa yang melazimkan solat sunat ini, bahkan ia mampu menjentik hati sesiapa sahaja kerana hikmah besar yang tersembunyi di dalamnya.
Baru-baru ini tular seorang lelaki non-Muslim telah berhijrah memeluk agama Islam setelah memahami keajaiban yang tersimpan dalam solat sunat tahajud.
Perkongsian itu dibuatnya menerusi satu rakaman video di TikTok. Menurut Bishar, dia mula terbuka hati mempelajari agama Islam selepas menonton video daripada seorang wanita bernama Ameena.
“Saya tengok video pasal tahajud. Saya pergi ke kedai buku beli beberapa buah buku”.
Ketika solat sunat tahajud, Bishar yang merupakan penghidap neutropenia berdoa mengenai beberapa perkara antaranya kesihatan, kerjaya dan kesejahteraan hartanya.
“ALLAH makbulkan doa saya. Dan saya lafaz syahadah selepas itu. Saya datang kepada ALLAH SWT disebabkan doa saya dimakbulkan”.
Dia turut menitipkan nasihat kepada seluruh umat Islam supaya tidak hanya menunaikan solat wajib lima waktu tetapi turut mengamalkan solat sunat tahajud dan meletakkan seluruh jiwa kepada ALLAH kerana di situ tersimpannya seribu keistimewaan.
Kelebihan Tahajud
Solat tahajud merupakan satu ibadah sunat yang sangat dituntut dalam Islam.
Perkara ini jelas dapat dilihat kerana terdapat beberapa surah dalam al-Quran menyebut secara langsung untuk umat Islam melaksanakannya.
Keistimewaan tersebut menyebabkan Nabi Muhammad SAW tidak pernah meninggalkan solat tahajud sehingga bengkak kaki Baginda.
Ini kerana orang yang rajin menunaikan solat tahajud seolah-olah selalu mendapat bisikan nurani yang dibimbing ALLAH sehingga cermat dalam mengambil tindakan dan sesuatu keputusan.
Firman ALLAH “Sesungguhnya kami akan menurunkan kepada-mu perkataan yang berat. Sesungguhnya beribadah pada malam hari lebih khusyuk (mantap) dan bacaan waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari kamu mempunyai urusan yang banyak. (Surah al-Muzammil ayat 5-7)
Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa apabila seseorang itu bangun untuk menunaikan solat pada waktu malam maka segala urusan bagi keesokan harinya akan menjadi lebih mudah dan teratur kerana perkara ini secara tidak langsung mendorong hati seorang manusia menjadi lebih terbuka dalam semua perkara.
Dalam erti kata lain, orang yang bangun malam untuk beribadah kepada ALLAH mampu membentuk kehidupan yang baik, sentiasa sedar tentang rasa kehambaan dan akan dijauhkan daripada sifat sombong. – Sinar Islam Plus
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM