‘Anak derhaka’, suatu ungkapan yang begitu ditakuti kebanyakan masyarakat. Jika diikutkan, tidak ada sesiapa pun yang mahu dirinya digelar sebagai anak derhaka ataupun si Tanggang.
Mana tidaknya, untuk meraih keredaan ALLAH SWT, seorang anak perlu mendapatkan restu dan reda ibu bapanya terlebih dahulu.
Bahkan Islam menetapkan kewajipan berbakti kepada ibu bapa buat anak kerana kedua-dua insan tersebut yang paling banyak berjasa daripada ketika mengandung, melahirkan dan menjaga sehingga kita sudah besar.
Pun begitu, dalam kebiasaan mendengar istilah ‘anak derhaka’, adakah turut wujud ibu bapa yang derhaka?
Sebagai ibu bapa, mungkin ada perkataan yang terpacul daripada bibir atau apa-apa perkara kita lakukan yang tanpa disedari menyebabkan anak terasa atau bersedih.
Apatah lagi, sudah terpahat dalam adat bahawa anak tidak boleh meninggikan suara mahupun membantah arahan ibu bapa selagi ia tidak bertentangan agama. Maka, akhirnya kesalahan itu sekadar terpadam dalam hati anak-anak tanpa ada peluang untuk diluahkan.
Dosa sakitkan hati anak
Kata pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, gelaran sebagai ibu bapa tidak boleh dijadikan tiket untuk sewenang-wenangnya menyakiti hati anak.
“Boleh atau tidak ibu bapa menyakiti hati anak? (Jawapannya) tidak boleh. Jangan pakai tiket ibu bapa untuk berbuat apa sahaja kepada anak-anak,” katanya dalam sebuah video dikongsikan di laman sosial.
Beliau turut memesan ibu bapa agar jangan memburuk-burukkan mahupun membandingkan anak mereka di hadapan orang lain kerana ia dikira berdosa dalam Islam.
Ucap Azhar, “Sebab itu anak-anak jadi tak suka. Dia (ibu bapa) suka memburuk-burukkan anak-anak. Pergi ke rumah orang lain dan mengumpat tentang anak-anak. Macam (anak) itu bukan manusia (tiada perasaan).
Agamawan itu bagaimanapun memberitahu, hukum ibu bapa menyakiti hati anak sememangnya salah dan berdosa tetapi ia tidak bermaksud ibu bapa tersebut derhaka.
Wujudkan ibu bapa derhaka?
Malah portal Jabatan Mufti Negeri Perlis mengingatkan bahawa kecacatan ibubapa dalam menunaikan tanggungjawab tidak bererti si anak boleh menderhakai mereka dalam perkara yang baik.
Ya, sebagai insan, seorang anak mungkin berkecil hati atas sikap ibu atau ayahnya. Namun, itu adalah urusan antara ibu bapa tersebut dengan ALLAH.
Sebaliknya, titip laman web itu, anak-anak harus kekal melakukan kebaikan seperti diperintahkan ALLAH kerana itu merupakan pahala untuk dirinya sendiri.
Dosa kepada anak yang ibu bapa terlepas pandang
Sebuah artikel daripada liputan6 menyatakan, terdapat tiga jenis dosa ibu bapa dengan anak yang boleh diibaratkan sebagai ‘derhaka’, iaitu:
1. Memaki anak.
Menggunakan kata-kata kesat, memanggil anak dengan nama yang tidak baik serta sering bercakap bukan-bukan terhadap anak daripada mereka kecil sehingga dewasa dikategorikan sebagai memaki anak.
Perkara itu bukan sahaja dilarang Islam, malah ia harus dielakkan kerana ungkapan yang ditutur oleh seorang ibu boleh jadi suatu doa kepada anak-anak.IKLAN
2. Pilih kasih.
Daripada Nu’man bin Basyir RA bahawasanya ayahku memberikan hadiah kepadaku. Lalu ibuku (‘Amrah binti Rawahah) berkata: “Aku tak meredai dan bersetuju dengan tindakan kau menghadiahi kepadanya sehinggalah kau meminta penyaksian (meminta kebenaran dan sokongan) daripada Rasulullah SAW.”
“Lalu ayahku berjumpa Nabi Muhammad SAW dan menceritakan kes yang berlaku lantas berkata: “Aku memberikan kepada anak lelakiku sebuah hadiah, tetapi isteriku menyuruh agar meminta kepastian daripadamu terlebih dahulu wahai Rasulullah SAW.
“Lalu, baginda SAW melontarkan persoalan: “Adakah anak-anak yang lain kau berikan hadiah yang sama seperti ini?” Bapanya menjawab: “Tidak.” Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bertakwalah kepada ALLAH dan berlakulah adil terhadap kesemua anakmu.” Kemudian, ayah pulang dan meminta semula hadiah yang telah diberikan.” (Riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, ibu bapa tidak harus memilih kasih dalam apa jua hal seperti memberikan harta dan lain-lain lagi. Ia adalah sifat ibu bapa yang dibenci Rasulullah SAW serta dilarang dalam agama.
3. Tidak memberikan pendidikan baik.
Ibu bapa yang tidak memberi pendidikan yang baik kepada anak adalah ibu bapa yang tidak berbuat baik kepada anak.
Bahkan, dalam Islam, anak-anak boleh membelakangi ibu bapa yang memberikan arahan untuk melakukan perkara bertentangan syariat Islam.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus, Liputan6, Jabatan Mufti Negeri Perlis
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM