Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan video aksi wanita yang tidak senonoh di satu kiosk manisan terletak di bandaraya Kuala Lumpur. Atas aduan dari masyarakat,dimaklumkan bahawa pihak DBKL dengan tindakan pantas dan cepat telah menyita premis makanan tersebut. Menurutnya pelanggan-pelanggan perlu melakukan aksi berjoget untuk mendapatkan makanan berupa manisan percuma. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak DBKL atas tindakan tersebut.
Apa yang sudah berlaku pada wanita Muslimah di Malaysia? Dimanakah hilangnya identiti dan jati diri wanita Muslimah?
Melihat kejadian tersebut, perkara yang sangat memalukan adalah bagaimana hilangnya sifat asas seorang wanita iaitu memelihara dan menjaga kehormatan diri dari menjadi fitnah luar dan masyarakat. Kejadian tersebut seumpama berlaku ketika zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam ketika zaman Tamadun Yunani wanita dianggap sebagai alat untuk bersuka ria, berfoya-foya dan pemuas nafsu. Rasulullah SAW juga ada mengingatkan tentang fitnah wanita di dalam hadis, daripada Usamah bin Zaid RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku suatu fitnah yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.” [Riwayat al-Bukhari (5096) dan Muslim (2740)]
Jelas disini, Rasulullah SAW telah memperingatkan kepada kita bahawa wanita itu fitnah yang sangat besar di atas muka bumi dalam setiap perkara yang ada pada diri mereka.
Islam datang membawa cahaya baru dengan memuliakan wanita dan mengangkat kedudukan yang tinggi dalam agama. Wanita diberi kewajipan dan tanggungjawab sesuai dengan asas fitrahnya antaranya menjaga kehormatan diri dan memelihara kesucian diri dengan menjadikan sifat malu sebagai pakaian dan perhiasan dalam kehidupan. Firman Allah SWT:
فَجَآءَتۡهُ إِحۡدَىٰهُمَا تَمۡشِي عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ قَالَتۡ إِنَّ أَبِي يَدۡعُوكَ لِيَجۡزِيَكَ أَجۡرَ مَا سَقَيۡتَ لَنَاۚ
Maksudnya: Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”.
(Al-Qasas: 25)
Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di Rahimahullah di dalam tafsirnya mengatakan ayat ini menunjukkan kepada mulianya keturunan dan baik akhlaknya. Sesungguhnya malu itu adalah dari akhlak-akhlak yang terpuji khususnya pada kaum wanita. [Lihat Tayseer al-Karim al-Rahman, hlm. 614]
Kemungkaran yang berlaku adalah disebabkan hilangnya sifat malu dalam kalangan masyarakat sehingga berani melakukan secara terang-terangan. Rasulullah SAW menceritakan lagi kepada kita tentang sifat malu di dalam hadis,
Daripada Abi Masu’d RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya: Jika kamu tidak merasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu inginkan.
Riwayat al-Bukhari (6120)
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah dalam mensyarahkan hadith tersebut menyatakan bahawa jika sesuatu perkara tersebut tidak memalukan, maka lakukanlah manakala jika ianya suatu perkara yang memalukan, maka tinggalkan ia. [Lihat Fath al-Baari, 10/523]
Kembalikan semula identiti dan jati diri sebagai wanita Muslimah
Budaya Feminisme dan ideologi-ideologi barat yang mana kononnya membawa kemajuan dan memberi kebahagian sebenarnya telah merosakkan identiti dan integriti sebenar seseorang muslim. Fahaman ini sebenarnya hanyalah mengikut kehendak hawa nafsu semata dan bertentangan dengan nas-nas Al-Quran.
Firman Allah SWT:
وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلۡحَقُّ أَهۡوَاۤءَهُمۡ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِیهِنَّۚ َ
Maksudnya: Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya.
[Surah Al-Muʾminūn: 71]Kehidupan ini jika bertentangan dengan wahyu ia sebenarnya mengikut hawa nafsu dan keinginan manusia yang berbagai dan seterusnya akan membawa kerosakan dan kehancuran dunia.
Asas yang penting adalah kita perlu kembali dengan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Kita perlu bina semula jati diri yang kuat dan kukuh berlandaskan syariat dan ciri-ciri seorang muslim yang sebenar.
Mari kita renung kembali pesanan bekas Ketua Wanita Isma, Dr Suriani binti Sudi yang mengatakan,
”Dalam kemelut jiwa yang melanda, adalah amat penting bagi kita untuk kembali membetulkan dan menghidupkan jati diri asas seorang wanita.
Ianya penting agar jiwa kita mampu untuk berhadapan dengan tekanan dari pelbagai sudut ini serta tetap muncul sebagai seorang wanita yang penuh dengan keistimewaan dan kehebatan seperti yang telah Allah SWT tetapkan.”
Jati diri yang kuat dan kukuh dapat diterjemahkan sekiranya seseorang itu meletakkan kehidupan seluruhnya kepada Allah, merasakan setiap tindak tanduk diperhatikan oleh Allah SWT iaitu “sifat ihsan”.
Marilah kita renung kembali hakikat dan tujuan penciptaan kita di atas muka bumi. Kita hanyalah merupakan seorang hamba kepada Allah SWT. Hidupkan sifat Rabbani dalam diri kita sebagai panduan dan akan menjadi seorang wanita yang hebat, bermaruah dan bertamadun.
Wallahua’alam Bissawab
Ustazah Nur Anis Binti Bahrin
Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM