Ingatan buat ‘content creator’, hasilkan karya yang murni agar pengikut makin dekat dengan Tuhan

Ledakan media sosial menyaksikan ramai content creator atau pencipta kandungan berlumba-lumba menghasilkan konten yang menarik untuk tatapan ramai.

Sekali imbas, tiada apa yang salah tentangnya. Malah, ia sebenarnya mewujudkan persaingan sengit. Di situlah kreativiti seorang pencipta kandungan ‘dinilai’.

Namun begitu, kurang enak didengari apabila ada yang sanggup mencipta konten bersifat kontroversi atau sengaja mengundang kecaman semata-mata demi mengejar rating.

Pendakwah Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud terpanggil membuat teguran tersebut di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Ia susulan bacaan kalamullah yang didengarinya daripada peserta Indonesia pada program Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 Tahun 1145 Hijrah/2023 Masihi semalam, mengalunkan ayat 6, Surah Luqman.

ALLAH SWT berfirman: “Dan ada manusia yang membelanjakan hartanya kepada hiburan yang melalaikan; yang menyesatkan dirinya dan orang lain dari agama ALLAH tanpa ilmu.”

Jelas pendakwah itu, memang ada orang yang ALLAH sudah murahkan rezekinya bagaikan ‘hujan turun’, tetapi individu berkenaan pula menggunakan wangnya untuk membuat konten hiburan merosakkan dirinya dan orang lain.

“Asalkan tinggi views dan engagement, duit ‘masyuk’…(dia tak kisah) Lantaklah apa orang nak kata.

“Bayangkan jika al-Quran sendiri sudah menegur, kita pula tak nak endahkan. Apalagi yang lebih tinggi daripada al-Quran?,” soalnya ketika membuat teguran tersebut.

Justeru, beliau menasihatkan agar kita menggunakan bakat kurniaan ALLAH SWT itu dengan cara yang betul dan menyebarkan kebaikan.

Caranya adalah dengan membuat konten yang baik, memberi ilmu dan nasihat, menyenangkan hati serta mendekatkan orang kepada ALLAH SWT, ungkapnya.

“Biarlah hidupnya disayang, matinya dikenang.

“Ingatlah, content yang kita post pada hari ini, dikongsi oleh ramai orang. Jika kita mati, content itu akan kekal,” ujarnya.

Andai kandungan yang dihasilkan itu baik, Ustaz Mohd Hairi menjelaskan, kita akan berbahagia di alam barzakh dan yang kekal abadi.

“Jika sebaliknya pula dan content dihasilkan merosakkan ramai orang, menangislah kita di sana,” titipnya.

Patuhi garis panduan dalam Islam

Kepada content creator, tidak salah untuk kita berkarya, tetapi biarlah ia mengikut lunas-lunas Islam dan batas-batas syarak yang dibenarkan.

Ada beberapa garis panduan dalam mencipta kandungan khususnya di media sosial.

Ia sepertimana yang dikongsikan oleh Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Anuar Ramli yang disiarkan dalam portal berita Berita Harian:

1. Tidak mempunyai unsur bertentangan syarak seperti pemujaan, keyakinan terhadap makhluk halus, ilmu sihir, khurafat dan syirik.

2. Tidak memaparkan konten yang mempunyai unsur maksiat dan dosa yang akan menyebarkan suasana toksik dalam dunia digital.

Sebagai contoh, mendedahkan aurat, pakaian tidak senonoh, pergaulan bebas, hubungan songsang, berpelukan, tarian dan lain-lain.

3. Elakkan unsur lucah walaupun Barat sekadar menganggapnya sebagai softporn.

4. Dilarang sama sekali mewujudkan elemen penipuan yang ditegah dalam Islam

5. Tidak berlebih-lebihan hingga memperbodohkan pengguna media sosial, pelik, tidak logik dan boleh dipertikaikan kesakihan kandungannya.

6. Tiada juzuk yang mengaibkan atau menjatuhkan maruah orang.

7. Tidak mempunyai unsur sumbang dan jelik yang menghina serta merosakkan nama baik orang atau sama sekali menggunakan bahasa kesat, lucah dan fitnah.

8. Tidak memplagiat dan melakukan pencurian harta intelek.

9. Usah sesekali menyentuh perkara sensitif terutama melibatkan elemen perkauman, agama dan institusi Diraja.

Buat content creator, tidak kiralah sama ada amatur atau tidak, jangan sesekali menyentuh sembilan larangan yang dinyatakan tadi.

Jangan kerana terlalu kemaruk penonton, ia mengheret kita ke ‘lohong hitam’!

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts