Islam izin kongsi kisah rumahtangga selagi tidak aibkan pasangan

Ibarat membuka pekung di dada apabila media sosial kini menjadi medium popular masyarakat meluahkan rasa termasuk hal rumahtangga.

Terutamanya apabila melibatkan poligami atau curang yang begitu sensitif untuk dibicarakan, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan fitnah dalam masyarakat.

Apa saja kisah rumahtangga yang berlaku pasti akan dikongsi di media sosial, adakah Islam membenarkan cara sebegini.

Menurut Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yuhaniz Mohd Yusop, Islam membenarkan perkongsian kisah rumahtangga untuk diambil pengajaran dan pelajaran selagi tidak mengaibkan dan memudaratkan sesiapa.

Katanya, terdapat banyak kisah rumahtangga baik dan bagus untuk dijadikan motivasi kepada orang lain.

“Kisah hebat ini adalah salah satu terapi buat kita untuk perbaiki diri. Kisah berunsur malang, kekecewaan, kesakitan, penderitaan dan trauma juga membuatkan kita sentiasa waspada serta berhati-hati dalam menjalani kehidupan.

“Bercerita dan berkongsi kisah rumahtangga ada kaedahnya. Jika kisah baik dan pasangan berkenaan tidak ada masalah untuk berkongsi dengan orang lain, maka buatlah dengan cara baik.

“Jika kisah tidak baik dan apatah lagi pasangan akan rasa diaibkan jika perkongsian kisah mereka dikongsikan, maka rahsiakanlah pemilik kisah itu. Hanya perkongsian kisah sahaja yang dilakukan untuk sama-sama kita mendapat ibrahnya,” katanya.

Yuhaniz berkata lagi, tiada halangan dalam Islam untuk mengadu dan berkongsi masalah rumahtangga namun hanya kepada orang yang layak sahaja.

Mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti

Imam al-Ghazali menegaskan setiap masalah dihadapi pasangan suami isteri atau sebagainya hanya boleh dikongsikan kepada orang yang berautoriti atau layak bagi membantu dalam membuat keputusan dan tindakan selanjutnya.

Dalam hal ini, katanya, setiap pasangan wajar mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti seperti kaunselor, pegawai khidmat nasihat dan peguam.

Sekiranya ingin berkongsi dengan orang sekeliling, seperti kawan rapat atau adik beradik, pastikan individu itu boleh menjadi pendamai.

Sayidatina Fatimah puteri Rasulullah SAW juga pernah menceritakan masalah rumahtangga beliau kepada Baginda.

Sahl Ibnu Sa’d RA meriwayatkan Rasulullah SAW mendatangi rumah Fatimah dan Baginda tidak melihat Ali RA di rumah. Lalu Baginda bertanya: “Di mana suamimu?” Jawab Fatimah: “Tadi ada masalah denganku, dia terus marah kepadaku, lalu keluar. Siang ini dia tidak tidur di sampingku.”IKLAN

Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat mengenai keberadaan Ali. “Wahai Rasulullah, dia di masjid, sedang tidur.”Datanglah Rasulullah SAW ke masjid dan ketika itu Ali sedang tidur, sementara baju atasannya jatuh di sampingnya dan terkena debu. Lalu Rasulullah SAW mengusap debu itu, sambil mengatakan, “Bangun, wahai Abu Thurab… bangun, wahai Abu Thurab.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Suami isteri ibarat pakaian

Seterusnya, memetik perkongsian Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr. Ahmad Sanusi Azmi menyatakan dalam al-Quran, ALLAH memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka, dan memelihara dari disakiti.

Firman ALLAH SWT: “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 187)

“Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing.

“Janganlah dijadikan budaya bahawa setiap kesalahan atau kesilapan suami atau isteri itu dipamerkan dalam media sosial,” jelasnya.- Sinar Islam Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts