Isu konsert Port Fest 2023, Ustazah Asma’ gesa garis panduan hiburan dikawal

Baru-baru ini satu rakaman video tular menunjukkan sekumpulan anak muda lelaki dan perempuan menari bersama-sama dalam keadaan kurang sopan.

Dikatakan ia berlaku pada malam kemuncak konsert Port Fest 2023 yang diadakan di Dataran Ipoh, Perak itu telah mencetuskan kritikan daripada warga netizen yang terkejut dengan gelagat segelintir pengunjung.

Rakaman itu mendapat lebih 20,000 tontonan di laman media sosial X, di mana ramai netizen mengecam tindakan golongan muda itu, dan menggesa tindakan tegas terhadap penganjur festival tersebut.

Ramai melahirkan rasa kesal melihat golongan belia itu seolah terlalu leka dan lalai dengan hiburan melampau itu.

Tampil meluahkan rasa kecewa, Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun turut memberikan teguran kepada pengunjung dan pihak berwajib agar tidak berlaku lagi konsert yang melampau sebegini.

Kongsinya, saya ternampak satu video yang tular baru-baru ni di konsert Port Fest, Dataran Ipoh.

“Video tersebut jelas terlihat anak-anak muda Islam lelaki dan perempuan bercampur bebas menunjukkan gerak tari yang memalukan.

“Dataran Ipoh ini dekat dengan Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), sebagai Pihak Berkuasa Tempatan negeri menjadi tanggungjawab awal untuk memantau tentang konsert atau acara sebegini bersama penganjur.

“Saya maklum bahawa Port Fest 2023 ini bukanlah konsert semata, ia adalah festival dibuat dua hari pada hari Sabtu dan Ahad, ada juga acara jualan, pameran, pertandingan, pertunjukan dan lain-lain namun, acara kemuncak konsert ini sangat mendukacitakan.

“Ia sepatutnya dari awal ada pantauan yang ketat oleh pihak berkuasa bersama pihak penganjur utama semasa acara atau apa jua yang patut dibuat sebelumnya agar situasi dikawal dan dipantau dengan baik.

“Tidak ada salahnya untuk diadakan apa jua festival, namun lihatlah baik dan buruknya. Letakkan garis panduan kawalan hiburan yang sewajarnya, tidak bercampur penonton lelaki dan perempuan, penampilan artis jemputan di jaga, tidak lalai tentang kewajipan kepada ALLAH SWT.

“Diakui Port Fest festival sebegini ia bagus kerana menghargai penggiat seni kreatif yang telah sekian lama berkarya dalam bidang seni, waktu inilah kita dapat sama-sama menghargai hasil tangan mereka, bersua muka dan bergambar tetapi tetap saja perlu dilihat acara yang termasuk di dalamnya.

“Isu konsert sebegini sudah ramai yang menegur, kerana pada akhirnya kita akan dapat lihat lebih banyak mudarat dari manfaat terutamanya kepada generasi muda.

“Mudah-mudahan pihak yang berkuasa segera ambil tindakan sewajarnya,” tegasnya.

Menerusi video yang tular itu juga, rata-rata netizen mengecam tingkah laku ‘budak step’ lelaki dan perempuan di acara Port Fest 2023.

“Rosak remaja kita kalau festival macam ini diteruskan, wanita lelaki semua bercampur dan lebih memalukan individu bertudung pun turut serta menari,”

“Mohon jauhkan daripada keluarga saya, tak tahu nak komen apa tapi memang sedih sangat tengok wanita bertudung buat tarian tak senonoh macam itu, sangat menyedihkan,”

“Boleh tak jangan bawa budaya negara jiran ke Malaysia, kalau kena musibah bukan di Perak sahaja tetapi satu negara kita semua akan terkesan, tarian ini macam selalu di Indonesia tapi dah mula jadi ikutan remaja kita, penganjur pula suka buat acara macam ini,”

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kenyataan daripada pihak polis mahupun penganjur berhubung kes tular itu, dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu.

SUMBER: Facebook Ustazah Asma’ Harun 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts