HALLELUJAH atau dipanggil juga halleluiah, merupakan perkataan tahun 1530-an daripada bahasa Latin Kuno. Perkataan alleluia pula diambil dari perkataan allelouia dalam bahasa Yunani. Ia juga diambil daripada perkataan hallalu-yah Ibrani yang bermaksud “puji ye Yehuwa,”
Perkataan ini mempunya dua elemen, yang pertama adalah hallalu, kata jamak daripada hallel yang bermaksud “untuk memuji” juga bermaksud “lagu pujian.” Hallalu juga kata jamak dari hillel yang bermaksud “dia memuji.”
Ia merupakan perkataan dengan latar belakang imitatif (perkataan yang dicipta dengan meniru bunyi sesuatu atau meniru simbol). Elemen kedua pula adalah yah, kependekan kata daripada perkataan Yahweh iaitu nama Tuhan. Perkataan alleluia dalam bahasa Inggeris Kuno (12 masihi.) pula berasal dari alleluie, perkataan bahasa Perancis Lama.
Kalimah ini disebut pada beberapa bahagian dalam kitab Hebrew Bible/Old Testament, kitab suci orang Yahudi. Kalimah ini berkemungkinan dinyanyikan oleh kumpulan koir kaum Levithe (salah satu kaum Yahudi) pada zaman Judaism kuno.
Golongan awal Kristian menggunakan ungkapan ini dalam proses penyembahan/ibadah mereka. Penggunaannya didapati dalam ritual dan hymn (nyanyian puji-pujian) Kristian Ortodoks, Roman Katolik, Anglican dan Protestan.
Ungkapan ini juga mula diperluaskan penggunaannya dalam Bahasa Inggeris moden sebagai ungkapan menggambarkan pujian, kegembiraan dan terima kasih. Ia juga bermaksud laungan atau nyanyian memuji.
Berkaitan perkara ini, kadang-kala tanpa sedar kita sebagai umat Islam ada yang mendengar dan melayan lagu yang berunsur kristianisasi ini. Apakah ada kesannya kepada akidah?
Ujar Mufti, Islam melarang umatnya melakukan perkara-perkara yang menyerupai golongan kafir, sama ada dari sudut tindakan, percakapan dan lain-lain. Ia merujuk kepada perkara-perkara yang menjadi ciri-ciri atau tabiat khas mereka yang bukan kebiasaan orang lain.
ALLAH SWT berfirman “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu katakan (kepada Muhammad SAW): Raa’ina, tetapi katakanlah: Unzhurna, dan “dengarlah”. Dan bagi orang-orang yang kafir siksaan yang pedih. (Surah Al-Baqarah ayat 104)
“Begitu juga dengan larangan, tidak boleh menyanyikan lirik yang mengandungi perkataan hallelujah kerana ia merupakan istilah khas yang digunakan oleh orang Yahudi dan Kristian.
Sekadar suka-suka juga tidak boleh
“Sekadar suka-suka menyanyi tanpa berniat ingin menyerupai orang kafir tidak boleh dijadikan alasan kerana cukup dengan melakukan perbuatan yang menjadi kebiasaan dan perkara khusus dilakukan orang kafir sudah dianggap menyerupai mereka walaupun tidak berniat demikian kerana ia boleh membawa kepada syirik kepada ALLAH SWT.
“Begitu juga peluasan penggunaan kalimah ini dalam istilah bahasa Inggeris moden untuk mengekspresikan kegembiraan tidak boleh dijadikan alasan kerana hakikatnya, ia tetap diambil dan masih menjadi istilah khas orang Yahudi dan Kristian,” katanya.
Mufti turut menasihatkan supaya membiasakan penggunaan kalimah Islam untuk mengekspresikan perasaan seperti mengucap alhamdulillah ketika bersyukur, subhanallah ketika merasa kagum dengan perkara yang baik dan sebagainya.
“Menjauhkan diri dari mendengar lagu-lagu dengan lirik yang menyalahi syariat Islam kerana kita akan merasa suka dan tertarik dengannya, ini sebenarnya termasuk dalam proses normalisasi (menjadikan perkara yang bukan kebiasaan sebagai perkara biasa dan normal) perkara menyalahi ajaran Islam.
“Adalah lebih baik kita mendengar al-Quran atau nasyid-nasyid yang berunsur nasihat dan sebagainya,” jelas Mufti.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM