KUALA LUMPUR – Pengeluaran lima hadis daripada modul asal Hadis 40 Imam Nawawi adalah langkah permulaan kepada penolakan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kata Pengerusi I-Peguam, Mohd Luttfi Abdul Khalid.
Mohd Luttfi yang juga pengamal undang-undang berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan lima hadis daripada hadis 40 itu kerana dianggap tidak selari dengan aspirasi perpaduan.
Dakwaan itu dibuat Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy.
“Hadith 40 tolak 5 adalah langkah permulaan kepada penolakan menyeluruh Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya semalam.
Pada 4 September lalu, The Merdeka Times melaporkan kenyataan Arun Dorasamy yang mendakwa KPM telah mengeluarkan lima hadis, termasuk hadis kelapan, daripada modul asal Hadis 40 Imam Nawawi dan perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Persatuan Hindu Sangam Malaysia (MHS).
Setakat ini, usaha The Merdeka Times untuk mendapatkan maklum balas MHS belum membuahkan hasil, malah tiada sebarang kenyataan KPM dikeluarkan berhubung dakwaan itu.
Mengulas lanjut dalam ruangan komen postingnya, Mohd Luttfi berkata penolakan itu berlaku disebabkan sikap golongan bukan Muslim berprasangka dan prejudis terhadap agama Islam.
Beliau mendakwa ia dizahirkan secara bertubi-tubi membuatkan kerajaan dan Kementerian Pendidikan tunduk kepada desakan-desakan itu.
“Dalam isu hadith 40 tolak 5 ini, isunya lebih besar dan kritikal. Ini kerana topik atau buku tersebut akan diajar hanya kepada pelajar-pelajar Muslim sahaja. Tetapi kerana desakan, bantahan dan penentangan secara bertubi-tubi dan bertali arus khususnya dari parti-parti politik rasis cauvinis, kerajaan dan Kementerian Pendidikan telah tunduk kepada desakan-desakan anti nasional ini.
“Kenapa mereka dibiarkan menentukan aspek mana dari ajaran agama Islam yang akan dipelajari oleh anak-anak umat Islam di sekolah?” katanya.
Mohd Luttfi berkata tindakan golongan itu adalah satu tindakan anti-nasional, rasis dan cauvinis yang jelas melanggar isu 3R (agama, bangsa, dan institusi beraja) lalu mempersoalkan mengapa mereka masih tidak diambil sebarang tindakan.
“Tindakan dan sikap mereka terang-terang melanggar garis merah berkait agama, bangsa Melayu dan insitusi Raja (3R)!
“Kenapa kerajaan campuran PKR+DAP+UMNO tidak ambil tindakan terhadap mereka semua?,” katanya pengamal undang-undang itu. – The Merdeka Times
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM