Soalan:
Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Ketika saya sedang membaca al-Quran, datang sekumpulan jemaah muslim yang berjalan di hadapan saya dan kemudiannya memberi salam. Persoalannya, adakah pada masa tersebut saya boleh menghentikan bacaan al-Quran dan menjawab salamnya atau meneruskan bacaan. Mohon pandangan SS Datuk Mufti.
Ringkasan Jawapan
Hukum seseorang memberhentikan bacaan al-Quran kerana ingin menjawab ucapan salam adalah wajib, dengan syarat salam itu khusus diberikan kepada individu tertentu. Namun, sekiranya ucapan salam itu diberikan kepada sekumpulan orang maka tidak wajib memberhentikan bacaan al-Quran untuk menjawab salam bahkan memadai jika ada salah seorang dari kumpulan itu yang menjawab salam tersebut.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai pedoman kepada umat manusia secara keseluruhannya dan juga merupakan petunjuk dan rahmat bagi manusia yang beriman dan beramal dengannya. Oleh yang demikian, antara hal yang perlu diambil perhatian adalah adab-adab ketika berinteraksi dengan al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT:
وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ فَٱسۡتَمِعُوا۟ لَهُۥ وَأَنصِتُوا۟ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
(Surah al-A’raf : 204)
Al-Tabari menjelaskan ayat ini sebagai peringatan dan suruhan Allah SWT kepada orang yang beriman dengan kitab-Nya; iaitu ketika mana dibacakan ayat al-Quran kepada golongan mukmin maka hendaklah mereka mendiamkan diri (senyap) dan mendengar lantunan bacaan sebagai tanda mengagungkan, memuliakan serta memahami isi dan makna ayat yang dibaca.
Selain itu, Allah SWT juga berfirman, bahawasanya:
وَإِذَا حُیِّیتُم بِتَحِیَّةࣲ فَحَیُّوا۟ بِأَحۡسَنَ مِنۡهَاۤ أَوۡ رُدُّوهَاۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءٍ حَسِیبًا
Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah SWT sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.
(Surah al-Nisa : 86)
Ayat ini jelas menyatakan berkenaan kewajipan seseorang muslim untuk menjawab salam ketika ia diajukan kepadanya. Ibnu Kathir menjelaskan bahawa seseorang itu hendaklah menjawab salam dengan ucapan yang lebih baik atau dia menjawab salam tersebut dengan ucapan yang sama dengannya.
Seperti yang disebutkan oleh al-Ruyani dalam kitabnya; apabila seseorang itu menerima ucapan salam maka dia diwajibkan (fardu ain) untuk menjawab salam tersebut jika ucapan itu khusus ditujukan kepadanya. Bahkan dia disunatkan untuk membalas salam itu dengan ucapan yang lebih baik jika individu yang memberi salam beragama islam. Manakala jika seseorang itu menerima ucapan salam ketika situasi ia berada dalam kumpulan jemaah, maka kewajipan menjawab salam di sini dalam kategori fardu kifayah, iaitu cukup sebahagian daripada mereka yang menjawabnya. Namun jika tiada seorang pun yang menjawab salam tersebut maka kewajipan tersebut tidak tergugur bahkan berdosa jika ditinggalkan dengan sengaja.
Justeru itu, adakah orang yang sedang membaca al-Quran boleh menghentikan bacaannya untuk memberi dan menjawab salam ? atau perlu meneruskan bacaannya.
Imam al-Nawawi ada menyebutkan berkaitan hukum memberi dan menjawab salam ketika bacaan al-Quran. Hukumnya berdasarkan beberapa situasi; sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam keadaan sedang berjalan, lalu ia melintasi sekumpulan manusia. Justeru ketika itu dia disunatkan untuk memutuskan bacaan dan memberi salam kepada mereka sebelum ia menyambung kembali bacaannya. Jika dia ingin menyambung semula bacaannya maka yang terbaik adalah apabila bacaannya dimulai dengan lafaz al-istia’zah (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم).
Manakala sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam posisi duduk lalu terdapat sekumpulan manusia melintasi dan memberi salam kepadanya, maka menurut Imam Abu al-Hassan al-Wahidi lebih utama meninggalkan memberi salam kepada orang yang membaca al-Quran kerana ia sedang disibukkan dengan bacaannya dan memadai baginya menjawab salam secara isyarat sahaja. Namun, sekiranya dia ingin menjawab salam secara lafaz maka perbuatan ini dibolehkan dan kemudiannya dia perlu mengulangi semula bacaan al-istia’zah sebelum menyambung bacaan. Walau bagaimanapun, ini merupakan pandangan yang lemah dan yang muktamad di sisi mazhab al-Syafi’I adalah dia wajib menjawab salam tersebut.
KESIMPULAN
Seseorang itu diwajibkan menjawab salam meskipun dalam keadaan sedang membaca al-Quran bahkan wajib ia memberhentikan bacaan pada ketika itu. Keadaan sekiranya ucapan salam itu khusus diberikan kepada dirinya seorang sahaja tanpa ada yang lain. Namun, jika ia berada dalam sekumpulan kelompok maka memadai jika ada salah seorang di antara mereka yang menjawab salam tersebut dan tergugur kefarduan menjawab salam ke atas yang lain.
Wallahu a’lam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM