Masihkah ada taubat bagi dosa yang berulang?

Seseorang berkata kepada al-Hasan al-Basri: “Apakah salah seorang daripada kita tidak merasa malu kepada Tuhan-Nya. Dia memohon ampun terhadap dosanya kemudian dia mengulangi lagi, memohon ampun kemudian mengulangi lagi?”

Lalu Imam al-Hasan al-Basri berkata: “Syaitan berharap jika dia berjaya menjadikan kamu merasa sedemikian. Maka janganlah jemu daripada istighfar (memohon keampunan).” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 19/26)

Allah SWT juga berfirman:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّـهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّـهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

MaksudnyaDan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

(Surah Ali Imran: 135)

Ibnu Kathir menyebut, berkenaan firman-Nya, (وَهُمْ يَعْلَمُونَ) “sedang mereka mengetahui,” Mujahid dan ‘Abdullah bin ‘Ubaid bin ‘Umair berkata: “Mereka mengetahui bahawa sesiapa yang bertaubat kepada Allah, nescaya Allah akan menerima taubatnya.” Ayat ini seperti firman-Nya:

أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ هُوَ يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

MaksudnyaTidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya,

(Surah Al-Taubah: 104)

Dan juga firman-Nya:

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا

MaksudnyaDan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Nisa’: 110)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, taubat yang dilakukan dengan berulang-ulang serta istighfar yang dilakukan berulang-ulang adalah diterima selagimana tidak terdapat pengulangan dosa setelah bertaubat dan memenuhi syarat taubat yang disebutkan.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

(Surah al-Tahrim: 8)

Ibn Kathir berkata: Iaitu taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya, yang akan menyatukan dan mengumpulkan orang yang bertaubat, juga menahan dirinya daripada pelbagai perbuatan hina.

Disebabkan itu, para ulama menyebut: Taubat nasuha adalah bertekad untuk meninggalkan dosa yang akan datang dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa depan. Kemudian, jika dosa tersebut berkait dengan hak manusia, hendaklah dia kembalikan (hak) apa yang telah dia ambil. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/60-61)

Akhir sekali, semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita serta mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya.

Wallahua’lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts