GEORGETOWN- Ahli politik turut bertanggungjawab memberi kefahaman tepat kepada masyarakat, termasuk bukan Islam mengenai maksud sebenar ayat al-Quran.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Mohd Noor berkata, semakin ramai masyarakat bukan Islam di negara ini yang memahami isi kandungan al-Quran, bererti semakin bertambah penghargaan dan penghormatan mereka terhadap Islam.
“Jika ia dapat dilakukan bererti satu perkembangan yang baik dalam hubungan antara sesama warga Malaysia berjaya diwujudkan.
“Diharap dengan cara sedemikian mampu menghapuskan fenomena Islamofobia dan sangkaan buruk terhadap agama Islam dan umatnya,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Pada masa sama, Wan Salim juga mencadangkan supaya pihak kerajaan menerusi mana-mana jabatan atau agensi yang sesuai, mengadakan sesi khas kepada wakil rakyat, ahli politik dan pemimpin badan bukan Islam (NGO).
Katanya, ia sekadar bertujuan memberi pencerahan mengenai kitab suci al-Quran dan bukan cubaan mempengaruhi orang bukan Islam.
“Semoga dengan menghadiri sesi sedemikian, mereka akan mendapat kefahaman yang betul mengenai isi kandungan al-Quran.
“Kita percaya dengan kefahaman yang betul akan meningkatkan lagi perpaduan dan sikap saling hormat antara sesama warga negara,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How tampil memohon maaf secara terbuka atas tindakan beliau memetik ayat al-Quran dalam satu video di laman media sosialnya baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu berkata, permohonan maaf itu dibuat antaranya mengambil kira saranan dari Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.
Howard mendakwa tidak membuat pentafsiran al-Quran sendiri tetapi menukilkan (memetik) tafsiran ayat yang diajarkan pihak arif, selain membuat buat kajian dahulu termasuk bertalaqi dengan orang alim dan bermuzakarah dengan beberapa ustaz. – ISMAWEB
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM