Epilog cinta Ibrahim-Hajar: Kisah sebuah pengorbanan

hikayat-ilustrasi

 

Sudah terlalu lama Nabi Ibrahim AS mendambakan seorang anak. Ketika melewati usia tua, isteri Nabi Ibrahim AS, Hajar mengandung dan ia menjanjikan pewarisan zuriat keturunannya. Lantaran itu Nabi Ibrahim AS semakin sayang kepada Hajar.

Hari demi hari akhirnya Hajar pun melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat dan diberi nama Ismail. Keadaan ini menambahkan kasih sayang Nabi Ibrahim AS terhadap Hajar dan anaknya Ismail. Namun Allah mahu menguji mereka. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim AS dan Hajar ke suatu tempat yang jauh, yang Nabi Ibrahim AS sendiri tidak mengenal tempat itu.

Baginda Nabi Ibrahim AS keluar merantau dari bumi Palestin dengan menunggang seekor unta bersama Hajar dan Ismail ke tempat yang dia sendiri tidak tahu tujuannya. Namun dia amat yakin akan adanya Allah yang akan membimbingnya. Setelah berminggu-minggu berjalan tibalah Nabi Ibrahim AS di sebuah daerah yang bernama Mekah, satu daerah yang kering kontang dan tidak ada penghuni. Hanya terlihat gurun pasir dan gunung-gunung batu, tidak ada tanaman untuk dimakan juga tidak ada air untuk diminum. Nampaknya di sinilah Hajar dan Ismail  AS diperintahkan Allah untuk hidup dan bermukim.

Bagaimanalah perasaan Nabi Ibrahim AS ketika itu. Tentu sahaja beliau berasa sangat sedih dan pilu, namun beliau berkata kepada Hajar: ”Bertawakallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan dialah yang akan melindungi kamu dan menyertai kamu di tempat yang sunyi ini. Sungguh kalaulah bukan perintah dan wahyu-Nya, tidak sekalipun aku tekad untuk meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat aku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahawa Allah yang Maha kuasa tidak akan menelantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya. Insya-Allah.”

Setelah ditinggal  Nabi Ibrahim as untuk tempoh beberapa ketika, keadaan Hajar dan Ismail sangat mencemaskan.  Hajar diuji dengan kelaparan dan dahaga di gurun tandus tersebut. Akibat kelaparan, air susunya juga tidak cukup untuk menyusui puteranya Ismail AS. Puteranya Ismail AS menangis meronta-ronta sehingga menyayat hati Sang Ibu bernama Hajar. Kelaparan, kecemasan serta  tangisan tanpa henti-henti Nabi Ismail AS membuatkan Hajar menjadi panik. Dia berlari-lari ke sana ke mari untuk mencari sesuap makanan atau seteguk air buat penghilang lapar dan dahaga.

Lalu Hajar pergi ke bukit Safa, dia berharap agar dapat menemui sesuatu yang mampu menolongnya, namun hanya batu dan pasir yang ditemuinya di sana. Dari Bukit Safa itu dia melihat bayangan air yang mengalir di atas Bukit Marwah, kemudian dia berlari lagi ke bukit Marwah, namun setelah dia tiba di sana, yang wujud adalah hanya bayangan fatamorgana belaka.

Diriwayatkan dalam keadaan Hajar yang tidak berdaya dan hampir putus asa, setelah berulang alik sebanyak tujuh kali di antara Bukit Sofa dan Marwah, datanglah malaikat Jibrail lalu bertanya: “Siapakah sebenarnya engkau ini?” Kemudian Hajar menjawab: “Aku adalah hamba sahaya Ibrahim”. Jibril bertanya lagi: “Kepada siapa engkau ditinggalkan di sini?”,  Hajar menjawab : “Hanya kepada Allah.”

Lalu malaikat Jibrail berkata lagi: “Jika demikian, maka engkau telah ditinggalkan kepada Dzat yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, yang akan melindungimu, mencukupkan keperluan hidupmu dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan ayah puteramu kepada-Nya.”

Lalu  Hajar diajak ke suatu tempat di mana malaikat Jibrail menginjakkan telapak kakinya dengan kuat di atas tanah. Dengan  izin Allah keluarlah dari bekas telapak kaki itu air yang begitu jernih. Mata air itu kemudian dinamakan mata air zam-zam yang tak pernah kering sehingga hari ini. Keadaan ini pula yang menjadikan Kota Mekah semakin lama semakin tumbuh dan berkembang pesat zaman berzaman sehinggalah ke hari ini. Mekah menjadi bumi penuh barokah dan rahmah.

Sementelahan itu pula, ketika Nabi Ismail AS mencapai usia remaja, Nabi Ibrahim AS mendapat mimpi bahawa dia telah diperintahkan Allah untuk menyembelih puteranya tersebut.  Begitu lama Nabi Ibrahim AS termenung untuk menafsirkan mimpi itu. Sesungguhnya amat berat ujian yang bakal dihadapinya. Namun sesuai dengan firman Allah: “Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanahkan risalahNya”. Lalu Nabi Ibrahim  AS menuju ke Mekah untuk menemui dan menyampaikan perintah tersebut kepada puteranya Nabi Ismail AS.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: QS 2: 124, “Dan (ingatlah, ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia”. Ibrahim berkata:  “(Dan saya memohon juga) dari keturunanku”. Allah berfirman: “JanjiKu (ini) tidak menimpa orang-orang  yang zalim.”

Tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang Nabi Ismail AS pun menjawab perkhabaran ayahnya: “Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Kemudian dipeluknya Nabi Ismail AS dan dicium pipinya, Nabi Ibrahim AS lantas berkata: “Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, berbakti kepada orang tuanya serta yang ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah.”

Ketika perintah penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikat kedua belah tangan dan kaki Nabi Ismail AS, dibaringkanlah dia di atas pelipisnya, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia. Maka terjadilah perang batin di hati Nabi Ibrahim as, antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Namun akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan di leher Nabi Ismail AS dan penyembelihan pun dilakukan.

Namun apa yang berlaku, parang yang tajam itu menjadi tumpul di leher Nabi Ismail AS. “Wahai ayahku yang dicintai, rupa-rupanya engkau tidak sampai hati untuk menyembelih leherku karena melihat wajahku, cubalah  engkau telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku”.  Berkali-kali dilakukan tetapi tetap jua tidak berhasil.

Dalam keadaan bingung dan sedih, datanglah wahyu Allah : “Wahai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpimu itu, sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang cukup besar.”

Kemudian sebagai ganti nyawa Nabi Ismail AS, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim AS menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya. Inilah asal permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada setiap hari raya Eidhul Adha di seluruh dunia.

Kisah-kisah Qurani ini sentiasa bergema ketika menjelang hari raya Eiduladha. Ia adalah kisah episod cinta kudus seorang manusia figur yang tinggi pengorbanannya terhadap Allah azzawajallah. Ujian kesulitan dan kepayahan yang dilalui Nabi Allah Ibrahim AS, isteri dan puteranya adalah lambang kekudusan ubudiyah yang tidak ada tolak bandingnya di dalam sejarah kemanusian. Ia terlakar dalam babak-babak korban kasih dan cinta demi satu perjuangan agung dan besar.

Ibrah di sebalik tragedi cinta yang menyayatkan hati ini tidak terhenti dengan drama pilu dan sedih tetapi berakhir dengan sesuatu yang indah, manis, bahagia dan luar biasa. Ia adalah sebuah ujian, sebuah perjuangan, sebuah pengorbanan yang dilakukan dengan ikhlas demi menjunjung risalah besar dan agung serta mewariskan keturunan zuriat penyambung risalah. Mungkin Hajar tidak pernah membayangkan kota Mekah yang dahulunya tidak berpenghuni, tanah yang gersang, kering kontang tanpa air, tempat  di mana dia berlinangan air mata demi seteguk air, sekarang sudah berkembang pesat menjadi kota moden yang  dikunjungi ramai manusia ketika ini.

Para duat di jalan allah perlu meneliti setiap babak kisah ini, mengamati perjalanan pahit manis rumahtangga dakwah pasangan sejoli Ibrahim-Hajar. Ke’jantanan’ puteranya Nabi Ismail AS yang membuktikan tanda cinta yang tidak berbelah bagi. Kisah ini menjadi kisah dakwah bagaikan sejambak mawar merah yang  mekar mewangi dan harum sekalipun dikelilingi duri-duri yang tajam.

Marilah kita renungkan kembali kisah agung ini, marilah kita jadikan  kisah keluarga Nabi Ibrahim AS yang penuh ujian, perjuangan dan pengorbanan sebagai teladan perjuangan di atas jalan dakwah ini.Semoga hadirnya Eidul Adha menjadi momentum untuk meningkatkan daya juang, kesabaran menghadapi ujian dari Allah serta  meningkatkan ruh keihklasan untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara.

Ustaz Azizee Hasan
maalimfitariq.wordpress.com

www.indahnyaislam.my

 

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Makna MUROBBI

  Bila berbicara tentang murobbi, ia tak lari dari makna murobbi itu sendiri. M: Management – bagaimana mengurus…