Serangan hospital Gaza patut buka mata negara Arab terhadap Israel

BANGI – Demi solidariti ke atas Palestin, sudah tiba masanya untuk negara-negara Arab yang cenderung ke arah Israel mengubah pendirian dan memperbetulkan polisi diplomatik mereka.

Pengarah Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, serangan ‘ganas’ ke atas Hospital Al-Ahli Al-Arabi di Gaza baru-baru ini, sepatutnya membuka mata negara sekitar Palestin bahawa nyawa orang Arab tiada nilai bagi Israel serta sekutunya.

“Justeru, diharapkan pemimpin negara Arab akan mula berubah sikap dan membetulkan polisi negara masing-masing terhadap Israel.

“Langkah Jordan yang membatalkan lawatan Joe Biden (Presiden Amerika Syarikat) dan langkah Mesir yang memberi amaran akan menghantar bantuan ke Gaza dengan iringan tentera adalah langkah yang patut ditiru oleh negara Arab lain,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dilaporkan, lebih 600 rakyat Palestin maut dan ratusan lagi cedera dalam serangan udara Israel menyasarkan Hospital Al-Ahli Al-Arab, kelmarin.

Hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi ribuan penduduk Palestin yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.

Mengutuk tindakan rejim itu, Muhammad Fauzi berkata, serangan berkenaan jelas menunjukkan Israel pengecut dalam berdepan pejuang Briged al-Qassam.

“Ini juga menunjukkan secara jelas betapa kelam kabutnya Israel dalam berdepan dengan situasi perang kali ini,” katanya.

Untuk rekod, Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin ditubuhkan pada Sabtu lalu bagi menggarap semua kekuatan umat Islam untuk disatukan dalam langkah yang lebih strategik ke arah membebaskan Palestin daripada penjajahan rejim Israel.

Gabungan itu disertai hampir 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aman Palestin, Majlis Ulama ISMA (MUIS), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru).

Turut serta Zaaba Institute, Gerakan Pengundi Sedar (GPS), Kelab Perwira, Arus Baru, Silat Hang Tuah, Persatuan Ahli Seni dan Budaya (PERSENI) dan Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA).

Gabungan ini akan menjalankan kempen selama dua bulan, selain menjalankan usaha melobi dan menggesa pihak kerajaan serta badan-badan antarabangsa supaya mengatur langkah ke arah membebaskan Palestin. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts