Negara Islam perlu bersatu henti jenayah rejim Zionis di Palestin

.

Sehingga ke hari ini, serangan demi serangan dilakukan tentera rejim Zionis terhadap penduduk di Palestin, khususnya di Gaza dengan begitu kejam.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin mengumumkan kejadian tidak berperikemanusiaan ini sebagai bencana kemanusiaan dan alam sekitar berpotensi menyebabkan penyebaran wabak penyakit rentetan proses penguraian jenazah penduduk Palestin yang terkorban.

Hal ini meruntun hati dan jiwa segenap lapisan masyarakat yang hanya mampu mendengar berita disampaikan kepada mereka dan berdoa dari jauh, terutama apabila lebih 1,000 jenazah syuhada ditemui di bawah runtuhan bangunan musnah.

Apa yang dilakukan tentera Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat bukan perkara baharu. Penyeksaan dihadapi umat Islam di Palestin ini berlarutan selama 75 tahun.

Semakin berleluasa aktiviti pembunuhan rakyat Palestin beramai-ramai dan aparteid atau proses penyisihan melenyapkan mereka dari bumi Palestin.

Pada masa sama, Amerika Syarikat (AS) menyokong Zionis terhadap situasi pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin. Bahkan Zionis menyatakan kesediaan mereka untuk memperluaskan serangan ke atas Gaza dan merancang pelbagai operasi serangan, udara, laut dan darat.

Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour menganggap ‘peperangan’ berlaku antara Israel dan Hamas berpotensi besar menjadi ‘al-Nakba’ kedua dalam sejarah.

Tahun ini menandakan 75 tahun al-Nakba atau pengalaman Palestin dalam rampasan dan kehilangan tanah air mereka berlaku pada 1948.

Bagi rakyat Palestin, al-Nakba bukan peristiwa bersejarah, tetapi proses menyakitkan mengingatkan mereka terhadap perpindahan atau pengusiran berterusan tidak pernah berhenti.

Sejarah merekodkan selepas mendapat sokongan British untuk mewujudkan negara Yahudi di Palestin pada 14 Mei 1948, tentera Zionis mengisytiharkan penubuhan ‘negara Israel’, mencetuskan perang Arab-Israel pertama.

Pasukan tentera Zionis mengusir sekurang-kurangnya 750,000 rakyat Palestin dari rumah dan tanah mereka serta menawan hampir 78 peratus Palestin.

Baki 22 peratus dibahagikan kepada kawasan kini diduduki Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang terkepung. Pada hari ini, tiada satu tempat yang selamat di Gaza untuk didiami kerana setiap hari penduduknya berhadapan dengan maut.

Ketua negara Islam perlu bersatu

Umat Islam dan mereka yang menyokong pembebasan Palestin perlu melakukan lebih dari sekadar menyatakan solidariti kepada Palestin untuk menghentikan jenayah terhadap isu kemanusiaan ini.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) perlu sedar jenayah aparteid berterusan dilakukan rejim Zionis dan perlu menyeru semua negara melaksanakan bidang kuasa sejagat bagi membawa pelaku jenayah aparteid, Israel ke muka pengadilan.

Dari sudut lain, dapat dilihat seakan dunia ini ‘dibisukan’ dengan negara kuasa besar. Britain sebagai contoh menyatakan Israel berhak mempertahankan diri, tetapi mempertikaikan Hamas membalas serangan itu demi mempertahankan nyawa penduduk Palestin.

Presiden AS, Joe Biden menyatakan sokongan untuk terus bersama Israel menghantar armada tentera laut dan jet pejuang ke wilayah berkenaan bagi membantu Israel bersiap sedia mengembangkan operasi ke Gaza.

Dalam menghadapi situasi ini, masyarakat antarabangsa mesti menghadapi realiti terhadap dasar aparteid dilakukan rejim Israel dan perlu berterusan menyuarakan hak keadilan bagi Palestin.

Suara masyarakat awam yang mendukung keamanan di Palestin perlu diangkat sama ada menerusi platform media sosial, demonstrasi aman sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, ketua negara Islam perlu bersatu dan lantang menuntut PBB bertindak menghentikan pertumpahan darah daripada berterusan di Gaza.

Jika jenayah perang, pembunuhan beramai-ramai dan dasar aparteid rejim Zionis ini tidak dihentikan serta-merta, keadaan akan menjadi tidak terkawal dan berisiko membawa kepada kemusnahan terhadap tamadun manusia dan kerosakan dunia.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts