BANGI – Umat Islam harus bersatu membina kekuatan dengan berterusan memberi pendedahan dan membongkar kejahatan rejim Zionis Israel.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi khutbah Jumaat berkata, pada masa sama generasi muda perlu ditanamkan dengan semangat kecintaan terhadap bumi Palestin.
Sementara itu, perbezaan ideologi politik pula bukan halangan untuk umat Islam sama-sama menunjukkan sokongan dan dukungan terhadap perjuangan Palestin, katanya.
“Konflik perang di Palestin masih belum berakhir. Sehingga kini, lebih 3,000 orang rakyat awam Palestin meninggal dunia mangsa kekejaman rejim zionis Israel.
“Israel yang angkuh dan sombong itu terus beranggapan bahawa mereka kuat dan tidak mampu dikalahkan kerana berselindung di sebalik kuasa-kuasa besar dunia. Mereka bertindak sangat kejam dengan terbaharu menyerang dan mengebom hospital dan orang awam.
“Betapa hancur luluh hati ini melihat jasad anak-anak kecil, kaum wanita, orang-orang tua dan orang awam bergelimpangan akibat diserang Zionis Israel.
“Lebih 1,000 kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam 11 hari serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza, purata seorang kanak-kanak terkorban setiap 15 minit,” katanya.
Khutbah menegaskan, rejim Zionis secara terang-terangan melakukan genosid terhadap umat Islam di Palestin.
“Ketika kita di sini dapat beristirehat di kediaman yang selesa, penduduk Gaza hanya berteduh dalam runtuhan bangunan yang binasa. Ketika anak-anak kita di sini leka bermain dengan telefon, anak-anak Gaza ‘didendangkan’ dengan bedilan peluru dan bom.
“Ketika kita di sini buntu memilih aneka juadah yang banyak, mereka di sana terpaksa mencatu makanan bagi bekalan untuk hari mendatang. Ketika kita sibuk bertelagah dengan perkara-perkara khilafiyah, mereka di sana teguh berganding bahu mempertahankan sesama sendiri.
“Ketika kita masih boleh bergelak ketawa bersama keluarga tercinta, mereka di sana hilang semuanya sekelip mata. Ketika kita di sini masih boleh merancang untuk bersiar-siar, ketahuilah bahawa mereka di sana menunggu giliran untuk syahid,” katanya.
Tegasnya lagi, umat Islam di Palestin juga saudara yang wajib dikasihi dan dibantu apatah lagi dalam keadaan mereka yang ditindas dan dizalimi.
Katanya, mereka sangat memerlukan bantuan dan sokongan daripada negara-negara luar terutamanya saudara-saudara seiman.
“Justeru, marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan dan sumbangan sama ada berbentuk wang ringgit mahupun secebis doa yang ikhlas kepada Allah SWT agar menyelamatkan umat Islam di Palestin,” katanya.- Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM