Taufan Al-Aqsa bawa angin perubahan, makin ramai mahu kenali Islam

SEJAK bermulanya operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober lalu, pelbagai media arus perdana Barat yang menyokong idealisme Zionis melaporkan berita berat sebelah, malah menyembunyikan kebenaran terhadap apa yang sebenarnya terjadi di Semenanjung Gaza.

Pelbagai fitnah, dakwaan berniat jahat dan laporan palsu dibuat oleh mereka terhadap umat Islam dan para pejuang di Gaza semata-mata mahu mengiring pandangan masyarakat seolah-olah mereka adalah pihak yang tertindas.

Puak Zionis mendakwa bahawa serangan balas yang dilakukan ke atas Gaza adalah kononnya satu usaha untuk mempertahankan diri selepas diserang oleh pejuang pembebasan Palestin – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas). 

Ekoran itu, mereka mewajarkan tindakan membunuh rakyat Palestin yang tidak bersalah di Gaza atas alasan ingin menghapuskan tapak persembunyian Hamas. Namun, mereka menangguh-nangguhkan serangan darat kerana tidak berani berperang secara berhadapan dengan sayap ketenteraan Hamas iaitu Briged Al-Qassam. Rejim bacul ini hanya mampu melancarkan serangan udara kerana itu memberi kelebihan kepada mereka yang memiliki kelengkapan jauh lebih canggih berbanding Al-Qassam.

Satu persatu kediaman dibom, hampir 200,000 kediaman musnah, termasuk fasiliti tempatan seperti masjid, hospital, kedai, institusi pendidikan, kemudahan saliran air dan lain-lain.

Lebih 7,000 dilaporkan syahid, 18,000 cedera (setakat 27 Oktober 2023) angkara serangan yang berlapikkan alasan tidak masuk akal Zionis. 

Namun, kisah tragis ini tidak dilaporkan media arus perdana Barat. Sebaliknya apa yang diterbitkan mereka bertentangan dengan realiti sebenar. Fakta diputar belit bagi memastikan Zionis tidak kelihatan seperti pengganas dan penjenayah perang. Mereka mahu kekalkan imej watak suci, seolah bangsa paling utama di muka bumi ini yang berhak untuk menubuhkan sebuah ‘negara’. Itu yang cuba ditonjolkan dalam media.

Namun, hakikatnya, naratif yang cuba disuapkan kepada pembaca dan penonton semakin hari semakin gagal. Masyarakat antarabangsa semakin bijak, mereka memandu sikap ingin tahu yang tinggi dengan berusaha mencari kebenaran menerusi wadah internet dan media sosial.

Dengan kecelikan hati, mereka mampu melihat kejanggalan dalam laporan media arus perdana Barat dan ketidakbenaran berita yang tidak sesuai dengan pemikiran logik.

Di aplikasi TikTok dan Twitter, ramai pengguna Barat menyatakan rasa kagum dengan kepercayaan dan keimanan umat Islam di Palestin. Meskipun diserang secara bertubi-tubi oleh Israel, kepercayaan mereka terhadap agama dan pertolongan Allah swt sama sekali tidak goyah. Malah, mereka reda akan pemergian ahli keluarga yang syahid atas perjuangan membebaskan Palestin.

Kekuatan ini nyata menarik rasa ingin tahu masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam. Ada yang mula mendapatkan terjemahan kitab al-Quran untuk memahami apa sebenarnya yang diajarkan Islam. Ramai meluahkan rasa terkejut dengan ajaran Islam yang nyata bercanggah dengan apa yang disajikan oleh media Barat.

Islam ternyata agama yang adil, harmoni dan bukannya membawa ideologi keganasan seperti yang didakwa Barat selama ini. Lebih mengharukan ramai yang mula jatuh cinta dengan Islam dan sejak beberapa minggu ini ratusan menyatakan telah berhijrah menjadi saudara baru Islam.

“@nikkifromduval: Saya telah belajar banyak tentang Islam dalam 2 minggu yang lalu, saya teruja untuk terus belajar dan saya akan menziarahi masjid tempatan hujung minggu ini.”

Salah seorang pengguna di laman Tiktok dalam ruangan komen juga berkata, dia mula memuat turun al-Quran di telefon pintarnya minggu lepas untuk mengenalinya.

Semua yang berlaku hanya memberi inspirasi kepada saya untuk mempelajari lebih lanjut tentang Islam,” katanya.

Pempengaruh media sosial dari Amerika Syarikat (AS) bernama Madison juga dengan bebesar hati mengumumkan penghijrahannya kepada Islam beberapa hari yang lalu (24 Oktober 2023).

“Saya jadi muslim hari ini! Ya!,” tegasnya. Madison turut memuat naik detik dia mengucapkan dua kalimah syahadah di platform TikTok.

Madison juga menyatakan akaunnya di TikTok sebelum ini telah diharamkan kerana menyokong Palestin. 

Begitu pun ia tidak akan menghalangnya untuk tetap meneruskan perjuangan menyebarkan kebenaran mengenai Palestin di akaun baharunya. 

“Apapun damai dan sayang. Saya akan berkongsi lebih banyak maklumat pada masa yang lebih sesuai. Saya akan terus menyokong. Impian saya telah menjadi kenyataan. Saya seorang muslim sekarang, dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam perjalanan ini, terutama sekali Allah,” kata Madison mengakhiri ucapannya dengan rasa sebak.

Jelas, hikmah daripada operasi Taufan Al-Aqsa makin kelihatan satu persatu. Tidaklah Allah mengambil sesuatu melainkan ia menggantikannya dengan yang lebih baik. Asbab perjuangan membebaskan tanah suci Palestin ini membawa seribu satu kebesaran Allah swt. 

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). – Surah Al Baqarah 2:214

Sesungguhnya setiap satu daripada kita sedang diuji. Dan hanya kepada Allah swt sahajalah kita mengadu nasib dan memohon kebaikan dunia dan akhirat. Semoga pembebasan Al-Aqsa dan Palestin semakin hampir. 

Wartawan Ismaweb.net
Ainul Illia Meor Suzurudin

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts