BANGI – Kempen Solidariti Palestin merupakan satu program yang penting kerana ia membawa wajah perjuangan menentang penjajahan dan pembebasan tanah air yang dirampas.
Pengarah Sekretarat Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa berkata, dalam menanggapi isu Palestin, masyarakat khususnya anak-anak dan pelajar di sekolah sewajarnya disedarkan bahawa isu kemanusiaan yang berlaku hari ini di Palestin berpunca daripada penjajahan dan rampasan tanah air yang telah berlaku melebihi 100 tahun.
“Setiap masyarakat perlu fahami pertempuran dan pertembungan yang berlaku dalam peperangan Taufan Al-Aqsa ini adalah pertembungan antara pemilik tanah asal yang dihalau, diusir, dibunuh, ditindas, dikepung, disekat, dengan pendatang haram.
“Golongan tersebut menggunakan kekerasan dan keganasan yang menghalau mereka daripada tempat tinggal mereka sendiri.
“Kita perlu dedahkan punca inilah yang membawa kepada segala elemen-elemen keganasan dan tidak wujudnya perikemanusiaan dalam isu Palestin ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad Syamil menegaskan golongan pendatang haram Yahudi di Palestin wajar diajar, dan dilayani dengan keras dan tegas.
Katanya, prinsipnya mudah, iaitu ‘barang yang diambil dengan kekuatan, keganasan, kekerasan, mustahil dipulangkan dengan diplomasi dan rundingan damai’.
“Inilah cara fikir yang betul, yang sepatutnya diterapkan pada anak-anak kita.
“Jika kita berfikir bahawa segala krisis boleh selesai dengan slogan keamanan dan kedamaian, tanpa sebarang gertakan dan amaran yang menakutkan musuh dan menggerunkan mereka, sampai bila-bila rakyat Palestin akan ditindas, dan dihapuskan dari sejarah,” katanya.
Justeru, beliau melihat kepahlawanan, keperwiraan dan kejantanan, adalah hakikat yang perlu ditonjolkan dalam isu Palestin ini.
“Itulah hakikatnya yang sedang berlaku, apabila barisan para pejuang dan mujahidin berterusan dalam penentangan (muqawamah) secara sistematik dan strategik, akhirnya berjaya mendapat kejayaan demi kemenangan,” katanya.
Ahmad Syamil menegaskan dengan naratif tersebut, negara akan memelihara kedaulatannya, dan menjunjung kemerdekaannya.
“Meskipun ada naratif kemanusiaan, dan slogan-slogan keamanan yang kosong daripada tindakan yang tegas, dan kekuatan yang menggerunkan, ianya hanya menambah galak dan senyuman kepada penjajah yang siang malam sesuka hati merampas dan menjarah hak dan tanah orang lain,” katanya. – ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM