KUALA TERENGGANU – Umat Islam perlu memelihara hubungan baik antara satu sama lain selain mengenepikan perbezaan fahaman politik bagi menjamin kehidupan yang lebih aman dan harmoni.
Bekas Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz menjelaskan semua pihak sewajarnya bersatu hati dalam memainkan peranan untuk menggesa pihak berwajib menghentikan segala penindasan terhadap rakyat di Palestin.
“Kita seharusnya mengambil iktibar dengan peristiwa yang berlaku di Palestin ketika ini. Ini kerana rakyat di sana sama-sama berjuang serta bersatu tanpa mengira fahaman politik untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan Israel.
“Jadi sebagai rakyat Malaysia, kita juga perlu mencontohi semangat dan ketabahan mereka yang bersatu padu demi memastikan kedaulatan negara terpelihara.
“Oleh itu, semua pihak khususnya pemimpin berperanan menyatukan kembali masyarakat yang berselisih faham akibat perbezaan fahaman politik ini dengan menunjukkan contoh yang baik tanpa perlu memburukkan dan menjatuhkan antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Justeru, Aizi Saidi berkata, semua pihak perlu berusaha melaksanakan pendekatan menjaga hubungan menerusi amalan memelihara hubungan yang baik.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan setiap masyarakat seharusnya memperbetulkan diri dengan mendekatkan diri dengan tuhan supaya setiap doa dan urusan dipermudahkan.
“Doa itu adalah senjata yang ampuh dan kuat maka setiap amalan baik menjadi kunci doa dimakbulkan.
“Jadi jangan pernah berputus asa untuk berdoa dan sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan penduduk di Palestin supaya mereka dilindungi dan bebas dari ancaman kekejaman zionis Israel,” ujarnya.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM