Malaysia wajar ketuai gerakan boikot, beri tekanan lebih keras terhadap Israel

Kuala Lumpur: Kecaman dari pemimpin dan komuniti dunia bukan lagi ‘peluru’ berkesan untuk mematikan kekejaman Israel terhadap bumi Palestin, sebaliknya tindakan yang lebih tegas perlu dilaksanakan segera, demi menghentikan jenayah kemanusiaan rejim Zionis itu.

Pemimpin-pemimpin dunia perlu berani mengambil langkah yang lebih keras dengan memboikot secara menyeluruh dan menghentikan segala hubungan diplomatik dengan Zionis itu.

Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohd Nazari Ismail berkata, pada saat masyarakat antarabangsa melepaskan geram terhadap Israel dengan melemparkan kecaman lisan, rejim Zionis itu sebaliknya terus menjarah bumi Palestin.

Beliau berkata, Malaysia sebagai negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang lantang dan konsisten dengan pendirian menentang penjajahan Israel itu, boleh memainkan peranan mengetuai gerakan dalam mengajak negara lain untuk memberi tekanan terhadap rejim Zionis.

“Tindakan kecaman tidak cukup. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kena ajak masyarakat antarabangsa, putuskan hubungan diplomatik dengan Israel dan memboikot secara total (menyeluruh).

“Malaysia perlu lebih lantang menyifatkan Israel sebagai negara yang melakukan jenayah aparteid dan genocide dan oleh itu perlu diboikot… tepat, kita wajar mengetuai gerakan memboikot Israel,” katanya kepada Bernama.

Mohd Nazari berkata, Malaysia sudah membuktikan bahawa ekonomi negara ini tetap berkembang tanpa ada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, dan negara lain wajar mencontohi pendirian negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Sabtu, menggesa negara anggota secara konsisten mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta, manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan.

Selain itu Sidang Kemuncak Tergempar OIC dan Liga Arab turut meluluskan ketetapan menuntut Israel serta-merta menamatkan keganasan ke atas Semenanjung Gaza, selain menggesa pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyelesaikan siasatan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan Israel di semua wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Mohd Nazari berkata, usaha melaksanakan inisiatif Keamanan Arab untuk Solusi Dua-Negara bagi mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat mengikut Sempadan Pra-1967, dilihat tidak lagi ‘berkesan’ kerana Israel sudah jelas tidak berminat untuk melaksanakannya.

“Apa yang patut Malaysia buat ialah menyeru masyarakat antarabangsa memboikot Israel, kerana jenayah aparteid dan juga jenayah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap warga Palestin.

“Selagi masyarakat antarabangsa berbincang berkenaan solusi dua negara, Israel akan terus merampas wilayah Palestin dan membunuh rakyatnya, dan mengusir mereka keluar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengajian Jabatan Pengajian Antarabangsa Dan Strategik UM, Prof Dr Khoo Ying Hooi berkata, persidangan tergempar OIC itu juga sudah menjadi simbol kesatuan terhadap Palestin, namun pemimpin Arab dan Islam perlu mempunyai strategi yang mendatangkan solusi kepada krisis itu.

Beliau berkata, langkah lebih drastik seperti sekatan ekonomi terhadap Israel boleh dilakukan, malah hasrat Malaysia untuk menggunakan pentas Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di San Fransisco, Amerika Syarikat, adalah peluang besar Anwar untuk menyatakan pendirian tegas negara berhubung krisis di Palestin.

“Telah ada pemimpin tidak senang dengan tindakan Malaysia (suarakan isu Palestin) dalam hal ini (APEC 2023). Kita boleh jangkakan protes yang besar sedang berlaku (terhadap pendirian Malaysia), namun langkah seperti ini (suarakan pendirian) harus diteruskan komuniti antarabangsa, untuk memberikan tekanan tinggi terhadap kuasa-kuasa tertentu,” katanya.

Senada dengan beliau, Felo Kanan Nusantara Academy for Strategic Research Prof Azmi Hassan berkata, aduan kepada ICC boleh disifatkan langkah yang lebih ke hadapan, berbanding laungan gencatan senjata yang pernah dibuat sebelum ini.

“Aduan perlu dibuat kepada ICC seperti yang dilakukan terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin sebelum ini, sehingga ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas Putin,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts