Pemimpin Arab bersikap tuli, khianati perjuangan rakyat Palestin

PUTRAJAYA – Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menegaskan perilaku dan keputusan pemimpin Arab yang tidak memihak kepada perjuangan Palestin adalah pengkhianatan kepada rakyat negara itu.

Lebih mendukacitakan, pemimpin negara Arab hanya bersikap tuli dan kaku apabila rela membiarkan umat Islam Palestin berterusan diseksa sehingga mengakibatkan lebih 11,000 syahid, termasuk kanak-kanak serta bayi pramatang.

Pengerusi GSPP, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni turut kesal dan kecewa dengan ketidaksepakatan negara Arab dalam menerima usul berkaitan isu Palestin pada sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Liga Arab, baru-baru ini.

“GSPP sangat kecewa dengan keputusan pemimpin-pemimpin Arab ketika sidang kemuncak OIC dan di antara negara-negara Liga Arab dan OIC yang menjadi harapan Palestin, jiran terdekat yang diharapkan mencapai pembebasan Palestin ternyata gagal.

“Hampir 80 tahun Palestin dibuli Israel dan sekutunya, negara-negara Arab seharusnya memahami tipu daya syaitan Zionis kerana sejarah lalu membuktikan mereka sering memungkiri janji,” katanya pada sidang media Tuntutan GSPP Kepada Negara Arab di sini, hari ini.

Ustaz Muhammad Fauzi turut menyifatkan tindakan negara Arab amat melampau kerana masih menerima cadangan ‘two state solution’ yang direstui rejim Israel.

“Serangan yang digunakan pejuang pembebasan Palestin merupakan mandat daripada rakyat Palestin sendiri, dan tindakan itu juga akan menaikkan maruah Arab yang sepatutnya disambut dengan bantuan.

“Pejuang pembebasan Palestin juga sejak awal lagi membuat seruan kepada pemimpin Arab untuk menyertai perang pembebasan ini, tetapi ibarat air mencurah ke daun keladi, tiada tindakan agresif,” katanya.

Berikutan sikap dan tindakan pemimpin yang berterusan kaku, GSPP mengemukakan lapan tuntutan kepada negara Arab supaya mengambil tindakan sewajarnya dalam isu Palestin dan melindungi Masjid Al-Aqsa.

1) Menuntut supaya 15 negara Arab menerima empat usul yang dikemukakan dalam sidang kemuncak OIC dan Liga Arab;

2) Menuntut supaya menyertai perang pembebasan dengan menghantar ketenteraan seperti aset-aset ketenteraan, pasukan keselamatan dan lain-lain mengambil kira perang Palestin, termasuk jihad melawan musuh Islam dan kewajiban mempertahankan Masjid Al-Aqsa;

3) Menuntut memutuskan hubungan politik, ekonomi, sosial dengan Israel dan tak merestui sebarang proses normalisasi dengan Israel;

4) Menuntut supaya mengakhiri kemelut penjajahan Israel ke atas Palestin dengan pembebasan penuh, bukan ‘two state solution’ yang tidak menjadi aspirasi rakyat Palestin;

5) Menyokong keteguhan rakyat Gaza supaya tetap di tanah air dan tidak berpindah dengan menghantar bantuan seperti bahan api, bekalan perubatan, air dan wang bagi meneruskan kehidupan seperti biasa;

6) Menuntut membuka sempadan Rafah secara kekal bagi tujuan penyelamatan, mengeluarkan warga asing, bekalan makanan, air, sumber tenaga dan menyediakan bantuan konvoi bagi memastikan bantuan sampai ke Gaza;

7) Menghalang campur tangan asing dalam menentukan penempatan, hala tuju rakyat Palestin pasca perang yang tidak mengikut aspirasi Palestin dan suara rakyat Gaza sendiri;

8) Menuntut supaya menetapkan belanjawan khas untuk membina semula Palestin seperti pembinaan sekolah, masjid, hospital sebagai melindungi tapak suci umat Islam dan Masjid Al-Aqsa.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts