Wanita Israel titip warkah penghargaan kepada Briged Al-Qassam

Kuala Lumpur: Seorang wanita Israel menitipkan warkah penghargaan kepada Briged Al-Qassam, sayap tentera Hamas atas layanan istimewa diberikan sepanjang menjadi tahanan kumpulan itu.

Warkah yang dimuat naik pejuang Hamas itu tular sejak pagi tadi mendedahkan, pengakuan ikhlas tahanan Israel yang dibebaskan dalam perjanjian pertukaran sebagai sebahagian daripada gencatan senjata kemanusiaan, bermula Jumaat lalu.

Wanita itu, Danyal berkata, dia sangat terharu atas keprihatinan Hamas dalam menyediakan semua keperluan mereka sepanjang menjadi tahanan terutama menyantuni anaknya, Emilia seperti darah daging sendiri.

“Kepada jeneral yang telah menemani saya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, nampakya kita akan berpisah esok tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya untuk kemanusiaan luar biasa yang kalian tunjukkan terhadap anak saya, Emilia.

“Kalian seperti ibu bapa kepadanya, menjemputnya ke dalam bilik kalian bila-bila masa yang dia mahu.

“Dia mengakui kalian semua kawannya bukan saja kawan biasa tetapi seseorang yang benar-benar baik dan disayangi,” katanya dalam warkah bertarikh 23 November lalu yang diterjemahkan pasukan penterjemah Cinta Gaza Malaysia.

Danyal berkata, pejuang Hamas sabar melayani kerenah anaknya termasuk memanjakannya dengan manisan, buah-buahan dan semua permintaannya.

“Terima kasih atas layanan dan banyak masa yang diluangkan sebagai penjaga anak saya biarpun ada ketikanya ia tidak tersedia.

“Kanak-kanak tidak sepatutnya berada dalam kurungan tetapi terima kasih kepada kalian dan orang baik yang kami temui di sepanjang tempoh ini.

“Anak perempuan saya rasa macam seorang puteri di Gaza kerana dari pangkat rendah sehingga ke pimpinan atas melayannya dengan baik, lembut dan dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Di akhir warkahnya, Danyal berkata, dia amat terhutang budi atas layanan baik diberikan itu sehingga anaknya meninggalkan bumi Gaza dalam keadaan baik dan tidak mengalami trauma psikologi.

“Saya akan kenang budi baik berikan di sini walaupun situasi sukar yang kalian sendiri hadapi dan kerugian teruk dialami di Gaza.

“Saya harap kita boleh menjadi kawan baik di dunia ini. Saya doakan anda semua sihat dan salam sayang kepada kalian dan ahli keluarga kalian. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Sepanjang empat hari tempoh gencatan senjata ini, Kementerian Luar Qatar berkata, Hamas membebaskan 69 tahanan manakala Israel membebaskan 150 tahanan.

Secara rasminya, gencatan senjata sementara fasa pertama itu berakhir 7 pagi waktu tempatan (1 tengah hari waktu Malaysia) tadi, namun semalam kedua-dua pihak dilaporkan mencapai kata sepakat melanjutkan dua hari lagi gencatan senjata sehingga 7 pagi waktu tempatan, Khamis. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts