GSPP lancar ‘Kempen Bantuan Musim Sejuk’ sasar kutipan RM8 juta untuk Palestin

KUALA LUMPUR – Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) mengisytiharkan fasa perjuangan baharu dalam memperjuangkan tanah suci umat Islam itu serta menyokong tekad rakyatnya untuk terus kekal di Gaza.

Pengerusi GSPP, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni dalam sidang media, hari ini berkata, perjuangan ini akan dilaksanakan menerusi tiga strategi baharu.

Antara strategi yang dilaksanakan adalah pelancaran Tabung Pembebasan Palestin yang bertujuan untuk menyalurkan dana secara strategik daripada rakyat Malaysia ke Palestin.

Beliau berkata, keistimewaan tabung ini untuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan kepada rakyat Palestin dalam melangsungkan kehidupan di sana susulan pengeboman tanpa henti rejim Israel.

“Rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza terpaksa melalui keperitan hidup apabila 278,000 bangunan musnah sekali gus menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal.

“Lebih 2.3 juta mangsa kebuluran, terputus sumber air bersih dan tiada bekalan ubat-ubatan serta gagal mendapatkan sebarang rawatan,” katanya

Menambahkan lagi situasi genting bagi rakyat Palestin, tegasnya, adalah ketibaan musim sejuk dengan cuaca setakat ini mencecah 14 darjah Celcius.

“Sebahagian daripada mereka berhadapan dengan situasi hujan lebat dan ribut salji menyebabkan khemah yang menjadi tempat berteduh rosak akibat hentaman cuaca buruk.

“Lebih memilukan, mereka terpaksa menghadapi detik-detik sukar untuk bertahan dengan cuaca sejuk yang boleh mencecah -2 darjah Celcius pada waktu malam tanpa sebarang alat pemanas dan kelengkapan pakaian musim sejuk,” katanya.

Justeru, beliau mengumumkan GSPP melancarkan Kempen Bantuan Musim Sejuk dengan menyasarkan kutipan sebanyak RM8 juta untuk disalurkan ke bumi Palestin.

Muhammad Fauzi menjelaskan, kempen ini menumpukan kepada lima sentimen bantuan seperti makanan panas, kotak makanan, bantuan klinikal peralatan musim sejuk, pemanas dan kerosin yang akan memberi manfaat kepada 80 ribu keluarga di kem-kem pelarian.

Jelasnya, kedua-dua kutipan ini akan diselaraskan di bawah Yayasan PEMBELA dengan kerjasama badan-badan Palestin di Malaysia.

“Maklumat lanjut mengenai tabung ini akan dikemaskini dalam laman web dan media sosial GSPP,” katanya.

Selain itu, Muhammad Fauzi berkata, GSPP menggesa rakyat untuk melaksanakan jihad ekonomi melalui tindakan boikot secara strategik terhadap entiti yang dilihat pro-Israel.

Katanya, langkah itu sebagai respon terhadap rang undang-undang (RUU) Amerika Syarikat (AS) yang menghalang dana disalurkan kepada kerajaan sah Palestin di Gaza iaitu Hamas.

“Entiti yang perlu diboikot dalam fasa pertama ini adalah McDonald’s Corporation, Grab dan Netflix.

“Ketiga-tiga entiti ini diihat mesra kepada Zionis Israel sama ada dengan cara sokongan ekonomi atau moral kepada mereka,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts