SOALAN
Assalamualaikum. Saya dan kawan-kawan perempuan ingin bercuti bersama dan kami bercadang nak sewa homestay (rumah banglo besar dua tingkat dan ada banyak bilik). Ada beberapa orang dalam kalangan kami yang sudah berkahwin. Soalan saya bolehkah kami tinggal di homestay itu untuk beberapa hari bersama kawan-kawan dengan suami mereka? Mohon penjelasan.
RINGKASAN JAWAPAN
Hukum lelaki dan perempuan tinggal serumah yang ketiadaan mahram adalah dilarang oleh syarak dan perlu dijauhi bagi menutup pintu maksiat. Walau bagaimanapun, duduk satu rumah dalam keadaan beramai-ramai dalam tempoh yang sekejap adalah harus tetapi wajib menjaga aurat dan adab antara satu sama lain.
Namun, dinasihatkan juga supaya mencari homestay yang berasingan bagi mereka yang sudah berkahwin dan berkeluarga sebagai langkah berjaga-jaga daripada berlaku fitnah atau khalwat bukan mahram dalam satu tempat yang tertutup.
Wallahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Islam melarang percampuran, khalwat atau berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram berdasarkan hadis Rasulullah SAW, daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.”
(Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi berkata sekiranya seorang lelaki berkhalwat bersama-sama dengan perempuan ajnabi tanpa ada orang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Begitu juga jika bersama-sama perempuan tersebut suaminya, maka ia lebih utama. Begitu juga, jika bersama lelaki dan perempuan ajnabi seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya kerana dia masih kecil seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua atau tiga tahun dan seumpamanya maka kewujudan anak tersebut sama seperti tiada orang ketiga. Selain itu, hukumnya harus jika seorang lelaki berkumpul bersama sebilangan perempuan yang ajnabi.
Antara hikmah besar larangan berkhalwat adalah bagi mengelakkan sebarang perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina atau permulaan zina. Hal ini kerana perbuatan khalwat tersebut dapat memberi peluang kepada syaitan menggoda kedua-duanya sehingga membawa kepada kerosakan yang lebih besar. Perkara ini jelas disebutkan oleh Rasulullah S.A.W:
أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Kebiasaan situasi tinggal bersama antara lelaki dan perempuan dalam tempoh yang singkat ini kerap berlaku dalam keluarga yang mempunyai ahli yang ramai seperti sewaktu hari raya dan sebagainya, namun ia berlaku dengan kehadiran mahram yang lain. Dalam situasi ini, terdapat hadis Rasulullah SAW berkaitan keperluan seorang lelaki berjaga-jaga ketika masuk bertemu perempuan lebih-lebih lagi dalam hubungan antara ipar-duai yang merupakan mahram sementara sebagaimana disebutkan dalam hadis berikut:
إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: الحَمْوُ المَوْتُ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda SAW bersabda : Ipar adalah maut.”
(Riwayat al-Muslim)
Walaupun ipar-duai adalah keluarga, namun pergaulan antara mereka perlu dijaga lebih-lebih lagi jika tinggal sebumbung kerana fitnah dalam kalangan ahli keluarga lebih besar kesannya.
Oleh itu, hukumnya harus lelaki dan perempuan beramai-ramai menyewa homestay yang mempunyai bilik yang banyak kerana situasi tersebut tidak dianggap sebagai berkhalwat. Namun begitu, wajib menjaga batas aurat dan pergaulan ketika berinteraksi antara satu sama lain seperti di dapur dan ruang tamu.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang sudah berkahwin dan berkeluarga dinasihatkan supaya mencari homestay yang berasingan sebagai langkah berjaga-jaga daripada berlaku fitnah atau khalwat dengan bukan mahram dalam satu tempat yang tertutup.
Wallahu a’lam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM