Platform GoBarakah permudahkan umat Islam berwakaf

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini kini boleh melaksanakan ibadah wakaf atas talian dengan membeli baucar secara elektronik yang disediakan menerusi platform GoBarakah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, langkah itu antara usaha terbaharu untuk mempelbagaikan lagi kaedah berwakaf.

“Matlamat kita hendak menggalakkan masyarakat Islam bagi menjadikan wakaf sebagai amalan dengan melalui banyak kaedah mudah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik GoBarakah antara pihak Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan penyedia platform, LC Wakaful Digital Sdn. Bhd.

Syarikat tempatan ini berdaftar dengan Kementerian Kewangan ditubuhkan lebih setahun lalu mentadbir laman bantuan sosial secara digital, mesra pengguna dan patuh syariah.

Pada 8 November lalu, platform ini dilantik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk program bantuan sosial dan komuniti yang pintar serta bersepadu.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, kaedah wakaf menerusi GoBarakah boleh dibuat sama ada berbentuk tunai atau sumbangan pembelian baucar dikenali sebagai e-voucher.

“Hasil kutipan ini kemudian akan diserahkan pula kepada pihak YWM untuk tujuan agihan yang meliputi pelbagai jenis skim telah ditetapkan oleh agensi berkenaan,” tambah beliau.

Sebagai permulaan, ujarnya, platform tersebut bakal mempromosikan kutipan Kempen Solidariti Wakaf Sejuta Al-Quran dengan nilai hanya RM38 bagi setiap naskhah kitab suci itu.

Selain itu, GoBarakah jelas beliau, turut menawarkan pilihan untuk berwakaf menerusi kaedah sumbangan dana kepada Palestin di bawah seliaan Tabung Musaadah Jakim-YWM.

Justeru, Mohd. Na’im optimis dengan kerjasama tersebut, umat Islam akan lebih mudah mengamalkan wakaf selaras situasi perkembangan teknologi moden yang lebih pantas.

Langkah berkenaan juga katanya, sejajar dengan program pendigitalan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan untuk segala urusan perkhidmatan transaksi dilakukan atas talian.

YWM merupakan entiti wakaf kebangsaan yang ditubuhkan pada 23 Julai 2008 lalu di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.

Lembaga Pemegang Amanahnya, dipengerusikan oleh menteri hal ehwal Islam dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Majlis Agama Islam Negeri, agensi awam dan tokoh korporat. –UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts