- Surah al-Kahfi benar-benar menunjukkan kepada kita bagaimana manusia boleh tewas dengan pelbagai fitnah dunia yang ada pada hari ini. Allah mempersembahkan kepada kita empat kisah yang mewakili setiap elemen dan mesej yang ingin disampaikan.
- Kisah pemuda Kahfi pada permulaan surah ini menggambarkan bagaimana sekumpulan pemuda yang lari dalam usaha menyelamatkan agama tauhid mereka. Mereka tidak berkongsi akidah dengan kepercayaan lain jauh sekali memperjuangkan konsep pluralisme agama.
- Kisah kedua pula adalah mengenai pemilik kebun yang dikurniakan oleh Allah harta dunia dan bagaimana harta dunia itu akhirnya menjadikan dia jauh dari Allah. Manusia terkadang berbangga dengan harta dan pengikutnya yang ramai. Follower yang ramai menjadikan dirinya ego. Firman Allah:
وَكَانَ لَهُۥ ثَمَرٌ فَقَالَ لِصَٰحِبِهِۦ وَهُوَ يُحَاوِرُهُۥٓ أَنَا۠ أَكْثَرُ مِنكَ مَالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا
“Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”. (al-Kahfi: 34)
- Perhatikan dalam ayat ini, bagaimana Allah menyebutkan bahawa harta yang banyak, pengaruh yang kuat serta pengikut (follower) yang ramai menjadikan manusia keliru dan akhirnya merasa tinggi diri, ego dan jauh dari bimbingan Allah tanpa dia sendiri menyedarinya.
- Kemudian Allah datangkan pula kisah Nabi Musa, yang menceritakan tentang fitnah (ujian) ilmu. Dalam sebuah hadis, Nabi Musa dikatakan tidak menyangka bahawa ada orang yang mempunyai ilmu yang lebih sedikit dari dirinya. Lalu Allah wahyukan kepada baginda tentang Nabi Khidir.
- Kisah ini dipaterikan dalam Surah al-Kahfi bagaimana ilmu yang tersemat dalam diri seseorang berupaya menjadikan mereka ego dan sombong. Merasakan dirinya lebih tahu dari orang lain, mereka mudah untuk menyalahkan malah merasakan hanya pandanganya yang benar.
- Manakalah kisah yang terakhir adalah mengenai kisah Zulkarnain dan fitnah kuasa. Allah kurniakan kuasa kepada manusia adalah bagi memelihara agama Allah dan bukan menjadi sombong dan mengelirukan manusia mengenai agama Allah yang suci ini.
- Menariknya dipenghujung surah ini Allah menegaskan mengenai satu amalan yang paling sia-sia. Manusia merasakan dia telah melakukan kebaikan, amalan atau sumbangan yang paling banyak sedangkan amalan itu pada hakikatnya sia-sia di sisi Allah. Firman Allah:
“قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأَخْسَرِينَ أَعْمَالا * الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا”
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.”
- Sekalipun menurut Sheikh al-Tantawi, ayat ini merujuk kepada golongan musyrikin, Yahudi dan Kristian, namun pengajarannya adalah baik untuk kita semua. Ia mengingatkan kita bahawa dalam segala kurniaan nikmat dan fitnah dunia yang Allah berikan kepada kita, janganlah dunia menyebabkan kita lari dari petunjuk Allah, sombong dan ego dalam kehidupan dunia yang sementara.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM