SHAH ALAM – Umat Islam dibolehkan menghadiri pengebumian orang bukan Islam dan hukumnya adalah harus.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setelah meneliti perbahasan para ulama, diharuskan untuk menghadiri pengebumian orang yang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam.
“Namun perlu diingat, kita sebagai orang Islam diharamkan menghadiri upacara-upacara yang berkaitan dengan keagamaan mereka.
“Ia sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada kalangan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Hantaran berkenaan merujuk kepada perkongsian jawapan di laman sesawangnya, Maktabah al-Bakri.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menjelaskan, Imam al-Nawawi telah menyatakan dalam kitabnya al-Majmu’ bahawa dibolehkan bagi kaum Muslimin mengiringi jenazah keluarganya yang kafir.
“Ini juga merupakan pendapat kebanyakan ulama. Al-Buhuti juga menyebut bahawa diharuskan untuk menziarahi kubur orang kafir dan berdiri di sisi kuburnya,” katanya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM