‘Saya minta pada Tuhan tunjukkan kebenaran’, bekas paderi cerita detiknya bersyahadah

PADA minggu lalu, Sinar Islam pernah menyiarkan kisah seorang paderi terkemuka Australia, Gould David yang kembali kepada fitrah Islam.

Ramai tertanya-tanya tentang motivasi yang menarik bekas pemimpin Gereja Ortodoks di bumi kanggaru itu mendekati Islam, sekali gus mengambil keputusan memeluk agama suci berkenaan.

Apa tidaknya, Gould David atau nama Islamnya Dave Abdur Rahman Gould sebelum itu dikatakan mendedikasinya usianya selama 45 tahun dengan berkhidmat di gereja.

Dalam satu temu bual yang disiarkan menerusi YouTube The Deen Show baru-baru ini, Abdur Rahman memberitahu, semuanya bermula apabila beliau hadir majlis pengebumian abang iparnya di Perth.

Mungkin suratan atau kebetulan, hotel yang ditempah berdekatan dengan masjid utama di bandar terbesar di Australia Barat itu.

Ketika berjalan melewati rumah ALLAH itu, Abdur Rahman terpanggil untuk melawat masjid berkenaan.

Beliau sempat bertemu dengan imam masjid yang kemudian menghadiahkannya senaskhah al-Quran.

“Sebetulnya, saya mempunyai al-Quran di rak buku. Selama bertahun-tahun menyimpannya, saya hampir tidak pernah menyentuhnya.

“Entah mengapa kali ini apabila kembali ke hotel, saya sujud dan meminta Tuhan yang anda tahu tunjukkan kepada saya tentang kebenaran mutlak sama ada Islam itu benar atau salah, agama Kristian itu benar atau tidak, Kristian Ortodoks itu betul atau salah.

“Saya berdoa untuk beberapa waktu di atas lutut saya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal About Islam.

Benarlah, hidayah ALLAH datang kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA.

Tatkala Abdur Rahman bersungguh-sungguh bersujud dan berdoa serta membaca kandungan dalam kitab suci umat Islam itu, sanubarinya berbisik bahawa Islamlah agama yang benar.

“Saya sedar secara intuitif, intelek, emosi dan rohani bahawa ini adalah ini ialah Tuhan yang benar,” ungkapnya.

Nur Islam yang menyapa hatinya itu membawanya untuk menulis surat kepada biskop (Bishop) bagi mengumumkan dirinya sudah menerima agama suci berkenaan sekembalinya beliau ke Tasmania.

Menerusi kiriman tersebut, Abdur Rahman mencoretkan, tiada Tuhan selain ALLAH dan Nabi Muhammad SAW itu ialah utusan terakhirnya.

“Saya juga terangkan ini adalah mesej terakhir dan saya tiada pilihan melainkan untuk mematuhinya.

“Alhamdulillah, saya menghubungi imam masjid di Perth menerusi telefon dan memeluk Islam dua hari kemudian di sebuah masjid di Hobart. Saya bersyahadah di hadapan masyarakat,” ungkapnya.

Ujar beliau, dirinya begitu tenang selepas kembali kepada fitrah Islam.

“Saya tahu, saya tidak boleh abaikan al-Quran dan menidakkan kebenaran bahawa Tuhan hanya satu, bukan tiga. Malah, Tuhan tiada anak dan mesej terakhir bahawa semua orang Kristian perlu mendengar bahawa saya berdoa sebagaimana Jesus (Nabi Isa) lakukan iaitu sepertimana para nabi yang dimuliakan berdoa.

“Saya telah berdamai dengan keputusan ini (memeluk Islam),” katanya.

Menerusi siaran temu bual itu, Abdur Rahman bercadang menunaikan umrah pada musim Ramadan nanti.

Dalam pada itu, beliau turut memperbetulkan fakta tentang dirinya yang tersebar meluas di internet.

“Selama 45 tahun saya sebagai Ortodoks, bukan paderi. Saya menjadi paderi tiga tahun sebelum saya berhenti dan memeluk Islam,” jelasnya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts