Libatkan golongan belia dalam institusi keagamaan

IPOH – Tenaga dinamik golongan belia perlu dimanfaatkan bagi tujuan membangunkan masyarakat dan negara termasuk melibatkan golongan tersebut dalam institusi keagamaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah adalah satu kerugian besar kepada negara jika tenaga yang sangat dinamik tidak diempang secara produktif untuk menjana tenaga konstruktif termasuk menyuarakan idea-idea di luar kotak.

“Bermula penggal perkhidmatan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) 2021-2023, beta telah memperkenankan lantikan dua orang anggota daripada kalangan belia serta memperkenankan lantikan wakil belia dalam Jawatankuasa Baitul Mal negeri dan daerah. 

“Alhamdulillah, wakil-wakil belia yang diberikan amanah telah membuktikan dinamisme penyertaan mereka, masjid mula diperkaya dengan kegiatan riadah, sukan dan seni silat, juga program-program pendidikan serta ekonomi,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan anggota MAIPk bagi penggal 2024-2025 dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di sini hari ini.

Baginda juga percaya lantikan pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri bersama presiden Majlis Belia Negeri sebagai anggota MAIPk berupaya memperkenalkan pelbagai langkah inovasi yang berupaya menarik minat dan meningkatkan penyertaan lebih ramai belia dalam program keagamaan serta kehadiran belia untuk mengimarahkan masjid. 

“Program-program kreatif yang dapat menarik minat belia terutama para belia di luar bandar dan para belia dalam kawasan FELDA dan FELCRA akan berperanan sebagai usaha preventif yang dapat melindungi para belia daripada terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat,” titah Sultan Nazrin.

Baginda turut bersetuju dengan cadangan seperti penganjuran pertandingan e-sukan oleh masjid di kariah masing-masing yang dicadangkan oleh wakil belia pada Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak, 25 Nov tahun lepas.

Selain telah diterima sebagai sebahagian acara sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa, titah baginda e-sukan Malaysia dipelopori oleh atlet hebat seperti Dr Yew Weng Kean, 29, lulusan ijazah doktor falsafah yang telah memenangi pingat emas sulung negara pada Sukan SEA Manila 2019.

“Pemenang pingat gangsa acara ‘mobile legends’ wanita di Sukan SEA Phnom Penh 2023, Sharifah Alia Husna Syed Fakrurrozi, ialah seorang hafizah 30 juzuk al-Quran ketika berusia 14 tahun, penuntut Diploma Pengajian Perniagaan Kolej Profesional MARA Beranang yang memperoleh CGPA 4.0 selama lima semester berturut-turut,” titah baginda.

Justeru titah Sultan Nazrin ibu bapa dan masyarakat seharusnya melihat e-sukan secara positif, kerana ia sebenarnya boleh meningkatkan pemikiran serta pemikiran strategik dan kritikal.

“Ibu bapa dan pendidik hendaklah berperanan sebagai pemudah cara dan pengimbang, memberikan bimbingan kepada anak muda untuk menguasai kemahiran e-sukan tetapi jangan sampai melupakan tanggungjawab terhadap pelajaran, penjagaan kesihatan juga tuntutan fardu ain dan fardu kifayah. 

“Amatlah bertepatan agar usul yang disuarakan oleh wakil belia itu, diberikan perhatian sewajarnya dan masjid mengambil daya usaha menganjurkan pertandingan atau latihan, daripada dibiarkan anak muda berkelana bersendirian mengembara alam e-sukan, tanpa batas – tanpa panduan,” titah baginda. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts