Assalamualaikum wbt SS Datuk Mufti. Baru-baru ini saya sempat membaca berita di surat khabar dan media sosial mengenai isu-isu politik di dalam dan luar negara. Antara perkara yang menarik perhatian saya adalah mengenai tingkah laku segelintir ahli politik yang suka mencetuskan isu-isu kontroversi kepada khalayak umum namun pada masa yang sama bersikap culas dalam berkhidmat kepada masyarakat. Adakah perkara ini dikira menyalahi tanggungjawab sebagai seorang pemimpin? Mohon pencerahan daripada pihak Mufti.
Ringkasan Jawapan:
Tanggungjawab seorang pemimpin dalam Islam adalah untuk memimpin dan menguruskan hal ehwal masyarakat yang berada di bawah kepimpinannya. Pada masa yang sama, tidak dinafikan juga bahawa salah satu tuntutan ke atas pemimpin khususnya yang bergelar sebagai ahli politik adalah untuk bekerja bagi merealisasikan visi dan misi politik mereka. Walau bagaimanapun, mereka mestilah meletakkan keutamaan untuk berkhidmat dengan sebaiknya kepada rakyat di bawah tanggungan terlebih dahulu mengatasi hal-hal yang lain.
Muqaddimah
Secara asasnya, Islam ialah al-Din atau difahami sebagai sebuah panduan dan cara hidup yang merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Antaranya termasuklah berkaitan politik dan kepimpinan. Berdasarkan sumber wahyu dan perbendaharaan Islam, istilah-istilah seperti al-Khalifah, al-Sultan, al-Imam, al-Malik, al-Amir, al-Wazir, waliyyul amr atau ulil amri merupakan antara istilah yang merujuk kepada pemimpin. Sementara istilah pemimpin dalam bahasa Melayu pula membawa konotasi kepimpinan dari sudut politik dan kepartian[1].
Oleh yang demikian, istilah pemimpin dalam artikel ini memfokuskan terhadap pemimpin di peringkat nasional yang terdiri dalam kalangan ahli politik. Sehubungan dengan itu, penulisan artikel Bayan Linnas kali ini bertujuan menitipkan beberapa nasihat kepada golongan yang bergelar pemimpin supaya sentiasa meletakkan keutamaan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara berbanding dengan hal-hal yang lain. Lebih-lebih lagi pemimpin merupakan tonggak utama yang menggerakkan sesebuah masyarakat dan menjadi indikator dalam menentukan kemajuan atau kemunduran masyarakat tersebut.
Syariat Islam telah menggariskan beberapa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin. Antaranya adalah:-
1 ) Bersifat Amanah Dalam Menunaikan Tanggungjawab
Pemimpin merupakan wakil yang telah dilantik oleh masyarakat untuk menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan kepada dirinya. Pada masa yang sama, mereka juga ialah individu yang sukarela menawarkan diri untuk mengambil tanggungjawab tersebut. Dalam konteks pemimpin di Malaysia, antara golongan yang disebutkan sebagai pemimpin juga termasuklah ahli politik yang mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat di kawasan masing-masing. Oleh itu, perkara utama yang wajib dilakukan oleh pemimpin adalah menunaikan segala amanah yang telah diberikan. Berdasarkan dalil daripada al-Quran, Allah SWT telah berfirman:
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
(Surah al-Ahzab: 72)
Amanah yang disebut dalam ayat di atas ialah merujuk kepada amanah terhadap manusia dengan mengotakan janji yang mana ia merupakan hak ke atas setiap orang Islam supaya tidak ditipu dan dikhianati baik pada perkara yang kecil mahupun yang besar.[2]
Selain itu, terdapat sebuah hadis Rasulullah SAW yang menerangkan balasan buruk ke atas pemimpin yang meninggal dunia dalam keadaan tidak menunaikan hak bagi rakyat yang berada di bawah tanggungan mereka. Diriwayatkan daripada Ma’qal bin Yasar RA bahawa Baginda SAW bersabda:
ما مِن عَبْدٍ اسْتَرْعاهُ اللَّهُ رَعِيَّةً، فَلَمْ يَحُطْها بنَصِيحَةٍ، إلَّا لَمْ يَجِدْ رائِحَةَ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Tiada seorang hamba yang telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk menguruskan hal ehwal rakyat di bawah tanggungannya lalu tidak menunaikan amanah tersebut meskipun dengan hanya menyampaikan satu nasihat melainkan tidak dapat mencium haruman syurga.”
(Riwayat al-Bukhari:7150)
2 ) Berkhidmat kepada rakyat dan negara
Seseorang yang bergelar pemimpin mestilah sedar bahawa keutamaannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat yang berada di bawah tanggungannya. Sabda Rasulullah SAW:
أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, kesemuanya bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin ke atas orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.”
(Riwayat bukhari: 7138)
Imam al-Mawardi telah menjelaskan beberapa perkara berkaitan kewajipan bagi seorang pemimpin terhadap rakyatnya. Antaranya adalah memperkasa hal ehwal agama masyarakat di tempat tersebut berdasarkan manhaj tertentu yang dipegang olehnya atau mengikut uruf (kebiasaan setempat), memastikan ibadah-ibadah umat Islam seperti solat Jumaat, solat hari raya dan peristiwa-peristiwa penting mengikut takwim Islam dapat dilaksanakan, memelihara kebajikan rumah-rumah ibadat, memastikan keamanan di setiap tempat dalam negeri, memelihara harta rakyat dan menegakkan hukum hakam Allah SWT[3]. Perkara ini menunjukkan bahawa tanggungjawab utama bagi pemimpin adalah menguruskan hal ehwal rakyat di bawahnya meliputi aspek-aspek seperti keagamaan, ekonomi, kebajikan, keselamatan dan sebagainya.
3 ) Mementingkan Keharmonian Dalam Pentadbiran
Seorang pemimpin perlu berusaha menjalankan tugas secara berhemah dan harmoni. Dengan kata lain, pertelingkahan lidah dan perbalahan sesama pemimpin perlu dielakkan serta fokus berganding bahu dalam menyelesaikan masalah yang berada di bawah kepimpinannya. Hal ini kerana setiap perihal pemimpin akan menjadi tontonan serta contoh kepada rakyat di bawahnya. Terdapat ungkapan berkenaan hubung kait antara pemimpin dan rakyat dalam kitab Syarh Bulugh al-Maram yang menyatakan:
الناس على دين ملوكهم
Maksudnya: “Manusia adalah berdasarkan agama (cara hidup) pemimpinnya.”[4]
Di samping itu, amanah yang digalas itu adalah lambang keimanan bagi seorang pemimpin dan pemerintah, bahkan ditegaskan lagi dalam sebuah hadis:
لا إيمان لمن لا أمانة له، ولا دين لمن لا عهد له
Maksudnya: “Tidak sempurna Imam seseorang yang tidak amanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menunaikan janji.”
(Riwayat Baihaqi:18851)
Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa jawatan dan kepimpinan bukanlah satu perkara yang boleh dimegah dan dibanggakan sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab dan amanah yang berat untuk digalas bagi seseorang yang bergelar pemimpin.
Kesimpulan
- Tanggungjawab bagi seorang pemimpin adalah untuk memimpin dan menguruskan hal ehwal masyarakat yang berada di bawah kepimpinannya. Sementara itu, pemimpin dalam kalangan umat Islam bertanggungjawab meletakkan urusan keagamaan umat Islam sebagai keutamaan seterusnya menguruskan hal ehwal yang lain.
- Pada masa yang sama, tidak dinafikan juga bahawa salah satu tuntutan ke atas pemimpin khususnya yang bergelar ahli politik adalah untuk bekerja ke arah merealisasikan visi dan misi politik mereka. Walau bagaimanapun, mereka mestilah meletakkan keutamaan untuk berkhidmat kepada rakyat di bawah tanggungan dengan sebaiknya dahulu mengatasi hal-hal yang lain.
Wallahu A’lam.