Tolak secara bijak & berhikmah

Pada 2005, gerakan sivil rakyat Palestin melancarkan seruan Boikot, Nyahlabur dan Sekatan (Boycott, Divestment and Sanction atau BDS) terhadap entiti Israel sehingga ia kembali mematuhi ketetapan yang diwajibkan oleh undang-undang antarabangsa.

Gerakan ditaja lebih 170 pertubuhan sivil dan politik Palestin mengambil inspirasi gerakan boikot terhadap rejim apartheid di Afrika Selatan yang membuahkan hasil pada 1994.-ADVERTISEMENT-

Artikel ini akan menjelaskan perihal boikot ekonomi menurut perspektif syarak dan menggariskan panduan serta parameter perlu dituruti agar ia tidak menyimpang daripada landasan yang sepatutnya.

Boikot sebagai strategi melawan kezaliman

Perkataan boikot menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud enggan berurusan dengan seseorang atau yang kebiasaannya untuk menyatakan rasa tidak setuju atau memaksa individu atau institusi berkenaan menerima syarat tertentu. Manakala menurut Cambridge Dictionary boikot bermaksud keengganan membeli sesuatu produk atau terbabit dalam apa-apa aktivitinya sebagai cara menyatakan tidak setuju dalam sesuatu isu.

Sejarah pemboikotan pernah dilakukan memberi impak yang besar kepada Israel sebagaimana pada 1945 satu resolusi dikeluarkan bertajuk The Boycott of Zionist Goods and Products hasil pertemuan tujuh anggota Liga Arab.

Menerusi inisiatif itu terkandung sebarang produk keluaran Yahudi hendaklah dikira tidak dikehendaki dalam negara Arab dan seluruh warga Arab sama ada institusi, organisasi, usahawan, ejen dan individu mesti menolak berurusan, mengedar atau menggunakan produk keluaran Zionis.

Kesan pemboikotan ini, ekonomi pasaran dan sumber serantau Israel terjejas teruk sehingga Israel terpaksa menyuarakan bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hukum muamalah dengan orang Yahudi

Secara umumnya hukum bermuamalah dengan orang Yahudi harus selagi mana ia produk halal. Dalam sebuah riwayat Nabi SAW pernah berurusan dan memberi cagaran dengan seorang Yahudi seperti diriwayatkan Saidatina Aisyah RA bermaksud:  “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda SAW.” (Riwayat Muslim)

Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas menyatakan keharusan bermuamalah dengan orang bukan Islam disepakati ulama.

Namun, keharusan terhad kepada perkara dibenarkan sahaja, jika transaksi itu boleh membawa kepada perkara haram seperti menjual senjata kepada musuh Islam, sebarang bentuk boleh membantu menegakkan syiar agama mereka, membeli kitab agama mereka dan seumpamanya maka muamalat tersebut diharamkan.

Imam Ibn Battal pula berkata: “Berurusan dengan orang kafir dibolehkan, kecuali menjual apa yang boleh membantu mereka untuk memerangi orang Islam.”

Dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan saling membantu dalam kebaikan dan mengharamkan tolong menolong dalam perkara kemaksiatan dan permusuhan. Allah SWT berfirman: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)

Namun ulama membahagikan saling membantu dalam perkara kemaksiatan kepada dua bahagian iaitu membantu secara langsung dan membantu secara tidak langsung. Sepakat para ulama jika kerjasama itu kerjasama secara langsung maka hukumnya haram. Namun jika ia tidak langsung, maka ulama membahagikan pula kepada 4 situasi:

Apa-apa yang boleh membawa kepada perkara haram  secara pasti  iaitu pada asalnya ia harus namun disebabkan faktor lain seperti boleh menyebabkan perkara haram maka hukumnya adalah haram.

Sesuatu yang  kebiasaannya  boleh membawa kepada perkara haram maka dalam hal ini ulama mazhab Maliki dan Hanbali menilainya sebagai haram.

Apa-apa yang  menurut sangkaan  boleh membawa kepada haram maka ulama dalam hal ini tidak mengharamkannya namun mengambil langkah berhati-hati lebih baik.

Perkara sama sekali  tidak membawa kepada sesuatu yang haram  maka sepakat ulama bahawa hukumnya harus.

Selain itu, Dr Walid bin Idris al-Manisi ketika membincang berkenaan parameter saling membantu ke arah dosa dan kemaksiatan beliau membahagikan kepada empat kategori:

Kerjasama secara langsung dan diniatkan padanya membantu ke arah maksiat (mubasyarah maqsudah) seperti memberi arak kepada seseorang untuk membolehkannya minum arak tersebut.

Kerjasama tidak langsung dan tanpa niat (ghairu mubasyarah wa la maqsudah): Contohnya memberi seseorang duit tanpa tujuan khusus, kemudian penerima tersebut membeli arak dengan duit tersebut. Kategori ini juga merangkumi muamalat jual beli, sewaan dan sedekah dengan orang-orang musyrikin. Jika mereka guna duit kita sumbangkan ke arah maksiat, kita tidak dikira berdosa.

Hukum terbabit boikot

Berhubung isu hukum memboikot, ia mesti dilihat kepada keadaan. Terkadang boikot menjadi wajib apabila produk atau syarikat berkenaan memberi bantuan secara langsung untuk membunuh umat Islam.   

Sebagai tanda solidariti kepada saudara di Palestin sepatutnya umat Islam berganding bahu menunjukkan protes atas kekejaman kepada rakyat Palestin.  Jika melemahkan musuh tidak sempurna melainkan dengan boikot, maka ia menjadi wajib sebagaimana kaedah: “Suatu kewajipan tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.” (Al-Asybah wa al-Nazair)

Boikot antara bentuk jihad harta dengan tidak membeli barangan keluaran pihak musuh atau yang menyokongnya. Setiap orang hendaklah berjihad dengan kadar kemampuan masing-masing. Allah SWT berfirman: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.” (Surah al-Talaq, ayat 7)

Meskipun ayat ini berkenaan nafkah untuk wanita yang beriddah dan ibu menyusu, namun menurut Syeikh Tahir bin Asyur ia terpakai kepada setiap infak dituntut kepada seorang Muslim, sama ada wajib atau sunat, iaitu memberi infak mengikut kemampuan.

Pertimbangan maslahah dan mafsadah dalam boikot

Strategi boikot ekonomi perlu dilakukan dengan teliti. Ia perlu mengambil kira pertimbangan maslahah agar tidak mendatangkan kemudaratan lain yang lebih besar.

Syeikh ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam dalam satu tulisannya menjelaskan ada beberapa keadaan di mana menolong pada kemaksiatan hukumnya harus: “Terkadang diharuskan menolong dalam kemaksiatan bukan kerana kemaksiatannya namun kerana ia boleh membawa kepada kemaslahatan lebih kuat, begitu juga jika pertolongan itu mendatangkan kemaslahatan yang lebih besar dari menghindari mafsadah (keburukan).” (Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam)

Panduan dan parameter boikot

Selain itu, panduan berikut wajar dipertimbang agar boikot dilaksana mencapai matlamat, berstrategi, tidak menyimpang daripada objektif dan tidak menzalimi pihak tidak bersalah:

Fokus matlamat boikot untuk menekan syarikat terlibat secara langsung agar menukar polisi mereka berkenaan Palestin dan Israel.

Dalam melaksanakan boikot, sikap tabayyun dalam menerima maklumat amat diperlukan bagi memastikan syarikat yang ingin diboikot benar-benar ada penglibatan secara langsung dengan Israel. Ini bagi mengelak kezaliman terhadap pihak yang tidak bersalah.

Kita hendaklah melaksanakan kempen boikot secara bijak dan berhikmah dan tidak bertindak dengan cara ekstrem dan melulu seperti memaki hamun pekerja di syarikat yang terlibat memandangkan mereka sekadar mencari rezeki, mensabotaj dengan merosakkan infrastruktur atau mengambil gambar pelanggan yang sedang makan dan menularkannya ke media sosial dengan tujuan menjatuhkan imej.

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts