BANGI – Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu sengaja ‘menciptakan’ peperangan demi menyelamatkan kedudukannya dan dirinya daripada didakwa di mahkamah.
Pengerusi Gerakan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, Netanyahu mahu melanjutkan perang di Gaza kerana semakin terdesak untuk mempertahankan dirinya daripada dibicarakan atas beberapa salah laku.
Netanyahu telah didakwa atas penipuan, rasuah dan pecah amanah dalam tiga kes yang difailkan pada 2019. Dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan/atau denda jika sabit kesalahan dalam kes rasuah.
Sesi pertama perbicaraan rasuah Netanyahu adalah pada 24 Mei 2020. Namun, tempoh perbicaraan menjadi panjang namun mulanya dihentikan sementara akibat COVID-19, dan kini kerana perang Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober.
Netanyahu hanya boleh dilucutkan jawatan jika disabit kesalahan, yang juga boleh menyebabkan dia dijatuhkan hukuman.
Netanyahu dan negara, masing-masing boleh memilih untuk merayu keputusan itu dan perbicaraan kes berprofil tinggi itu dijangka berlangsung beberapa bulan lagi.
Melihat kepada situasi sekarang, Ustaz Muhammad Fauzi yakin warga Israel semakin hari semakin kuat menolak pemimpin parti Likud itu dan menggesa dia berundur.
“Selain dari demonstrasi yang berlaku setiap hari, protes terhadap Netanyahu juga dilakukan oleh parti lawan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Begitu pun, beliau berkata, peperangan di Gaza dijangka akan berterusan sehingga salah satu sama ada Palestin atau Israel hancur.
“Ia adalah perang kalah mati. Jangkaan ketegangan akan semakin merebak dengan adanya pergerakan dari Yaman,” katanya.
Sementara itu, mengulas slogan penyelesaian dua negara atau ‘two-state solution’, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, ia hanyalah slogan palsu Israel dan Barat.
“Hakikatnya mereka mahu menghapuskan Palestin keseluruhannya dan menjadikan hanya satu negara sahaja iaitu Israel.
“Two-state solution sendiri bertentangan dgn idea ‘Deal Of The Century’ yang datang kemudian yang akan mengosongkan Gaza dan merampas 61 peratus dari Tebing Barat,” katanya.
Perjanjian berat sebelah itu juga menetapkan bahawa negara Palestin tidak akan mempunyai kawalan ke atas ruang udara, sempadan dan tidak akan mempunyai kuasa untuk mengadakan sebarang perjanjian dengan negara asing.
Terdahulu, Yedioth Ahronoth melaporkan pegawai Israel mendakwa, negara Palestin yang tidak berdaulat itu akan ditubuhkan di 70 peratus kawasan Tebing Barat yang diduduki dengan kejiranan Baitulmaqdis Shuafat sebagai ibu kotanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAMShare