Kalam ulama bukan sembang kedai kopi

Ya benar, kalam manusia memang tidak maksum.

Namun guru saya beri satu kaedah, untuk difahami para umat Islam dalam berinteraksi dengan kalam ulama.

Pendapat ulama tidak maksum, namun kadar ketepatannya lebih besar daripada pendapat kita.

Ulama mempunyai jalan kiranya yang sudah kukuh, semua yang dibicarakan ada hujjah dan kaedah tersendiri. Mereka tidak memetik-metik nukilan orang kemudian dipegang seperti pandangan muktamad melainkan disaring dengan kaedah dan prinsip mazhabnya.

Atas asas itu maka ijtihad mereka, mana-mana pun ia pergi, ia tetap dikira dalam lingkungan kebenaran dan mendapat pahala. Ketepatan dan ketidaktepatan hanya berputar sekitar titik yang sahih atau lebih sahih sahaja.

Jadi jika nak dibandingkan, seorang yang biasa cakap benda yang betul, dengan yang biasa cakap merapu, ibarat mempercayai persaksian kanak-kanak berbanding orang dewasa yang dipercayai.

Beza antara orang yang baru graduasi daripada kepakaran dalam bidang tertentu, dengan orang yang sudah lama menjadi pakar pun sudah berbeza kerana pengalamannya, mendarah dagingnya dalam sesuatu bidang, apatah lagi orang yang tidak duduk dalam bidang itu.

Membakulkan semua pandangan ulama seperti pandangan orang biasa adalah satu kebiadaban terhadap pewaris Nabi SAW, dan kezaliman terhadap ilmu itu sendiri.

Atas asas itulah, dalam ilmu usul fiqh, dalil syarak bagi para ulama adalah Al-Quran, Sunnah, Ijmak, Qiyas, dan semua dalil-dalil yang boleh diterima. Adapun bagi orang awam, dalil syarak mereka adalah pandangan mujtahid (ulama).

Membuka ruang kritikan kepada para ulama yang muktabar di medan awam, sama seperti mengkritik Al-Quran dan Sunnah di medan awam.

Jika bukan kerana mereka, siapakah yang akan sampaikan agama ini kepada kita?

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Setiausaha Agung
Majlis Ulama Isma (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts