Hamas akan patuh gencatan senjata jika diarah ICJ

Pejuang Hamas semalam berkata pihaknya akan mematuhi gencatan senjata jika mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkan berbuat demikian.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengumumkan keputusan penting itu hari ini selepas Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

“Sekiranya ICJ yang berpangkalan di The Hague mengeluarkan keputusan mengarahkan gencatan senjata, pergerakan Hamas akan mematuhinya, asalkan musuh kami melakukan perkara yang sama,” kata gerakan itu dalam satu kenyataan.

Afrika Selatan mendakwa Israel melanggar Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1948 selepas Perang Dunia II dan Holocaust.

Pretoria mahu ICJ mengeluarkan apa yang dipanggil ‘langkah sementara’, iaitu perintah kecemasan untuk melindungi rakyat Palestin di Gaza daripada kemungkinan berlakunya pelanggaran konvensyen.

Perintah dikeluarkan ICJ membabitkan pertikaian antara negara adalah terikat di sisi undang-undang dan tidak boleh dirayu. Bagaimanapun, mahkamah mempunyai sedikit kuasa untuk menguatkuasakan keputusannya, contohnya mengarahkan Russia menghentikan pencerobohannya ke atas Ukraine sebulan selepas ia bermula, namun tidak berjaya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi bayangan tidak akan terikat dengan mana-mana perintah ICJ.

“Tiada siapa dapat menghalang kami, sama ada The Hague, Axis of Evil dan pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan pada 14 Januari lalu, merujuk kepada kumpulan ‘paksi penentangan’ yang sejajar dengan Iran di Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman.

Menurut kumpulan itu, jika perintah gencatan senjata dikeluarkan, Hamas juga perlu membebaskan tawanan Israel di Gaza sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin di penjara Israel.

Melalui perintah itu, Israel turut digesa menamatkan sekatan berterusan di Semenanjung Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan serta bahan pembinaan dibawa masuk ke wilayah itu.

Israel melancarkan serangan dahsyatnya ke atas Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Menurut statistik Israel, serangan itu mengakibatkan 1,140 orang maut dan serangan balas rejim itu, menyaksikan sekurang-kurangnya 25,900 rakyat Palestin terbunuh dengan 70 peratus daripada adalah wanita dan kanak-kanak. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts