Hijrah ke Negara Islam: Antara kewajipan di zaman Rasulullah SAW dan alternatif masa kini

medina

 

Muqaddimah

Hijrah dari segi Bahasa berasal daripada perkataan al-hajr yang bererti pemisahan seseorang dari selainnya, sama ada secara fizikal, secara lisan atau hati. [1]

Firman Allah s.w.t:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ 

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)” [2]

Firman-Nya lagi:

وَقَالَ الرَّسُولُ يَارَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Maksudnya: “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai” [3]

 

Hijrah Rasulullah SAW dan para Sahabat RA

Hijrah yang dilaksanakan Rasulullah SAW dan para Sahabat RA yang perlu difahami oleh umat Islam pula bermaksud:

الخروج في سبيل الله من دار الكفر إلى دار الإسلام، ومن دارٍ شديد الفتنة إلى دارٍ أقل منه فتنة

Maksudnya: “Keluar di jalan Allah s.w.t dari negara kafir ke negara Islam. Dan dari negara yang mempunyai fitnah yang dahsyat ke negara yang kurang fitnahnya.” [4]

Inilah yang berlaku dalam sirah perjuangan Rasulullah SAW dan para Sahabat RA Setelah 13 tahun mengharungi perjuangan tarbiyyah dan dakwah di Makkah, mereka akhirnya berhijrah ke Madinah setelah mendapat arahan daripada Allah SWT atas beberapa faktor, yang antara lainnya ialah, kerana ruang dakwah di Madinah lebih terbuka luas berbanding Makkah bahkan Madinah berpotensi besar untuk didirikan sebuah negara Islam. [5]

Penting untuk dinyatakan bahawa hijrah dan pembinaan negara Islam yang pertama di Madinah  tidak berlaku melainkan selepas Rasulullah SAW membuat persediaan rapi dalam dua perkara, iaitu: [6]

  • Persediaan syakhsiah para Sahabat di Makkah (Muhajirin) yang memakan masa selama 13 tahun.
  • Kesediaan Madinah sebagai tempat tujuan Hijrah yang bermula secara serius dan terancang melalui Perjanjian Aqabah pertama dan pengutusan Mus`ab bin `Umair RA ke Madinah serta Perjanjian Aqabah kedua.

 

Kewajipan hijrah ke Negara Islam dan alternatif hijrah masa kini

Hijrah ke negara Islam Madinah merupakan satu kewajipan ke atas umat Islam ketika zaman Rasulullah SAW. Hal ini berdasarkan banyak ayat Al-Quran yang mencela mereka yang tidak berhijrah dan terus tinggal bersama kafir Quraiysh di Makkah. Antaranya;

Firman Allah s.w.t:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّـهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَـٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” [7]

 

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُم مِّن وَلَايَتِهِم مِّن شَيْءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا

Maksudnya: “…Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah…” [8]

Allah juga memberikan setinggi-tinggi pujian serta memberi ganjaran kepada mereka yang berhijrah ke Madinah;

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.” [9]

Menurut Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, berdasarkan ayat-ayat di atas juga, dapat difahami bahawa tidak sempurna iman seseorag melainkan dia berhijrah ke negara Islam. Penggabungan dalam negara Islam, hidup di bawah naungannya serta berjihad di bawah panji merupakan satu kefardhuan ke atas orang Islam ketika itu.[10]

Namun, pada zaman sekarang di mana tiada satu pun model negara Islam yang hakiki (berlandaskan manhaj kenabian), bagaimanakah umat Islam hari ini hendak menyahut seruan hijrah ini? Ke negara manakah umat islam hendak berhijrah?

Dalam hal ini, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menjelaskan; “Alternatif “hijrah ke Negara Islam” pada hari ini ialah bersama atau bergabung (الانضمام) dengan  jemaah/gerakan Islam yang beramal untuk menegakkan negara I

Islam. Maka ia adalah fardhu ke atas semua orang Islam berdasarkan kemampuannya”[11]

Ustaz Ahmad bin Khairuddin

www.indahnyaislam.my

Rujukan:

[1] Al-Asfahani, Gharib Al-Quran, jil. 1, m/s 536, Mufrafdat Alfaz Al-Quran Al-Karim, jil. 3, m/s 53;
الهجر والهجران: مفارقة الإنسان غيره؛ إما بالبدن؛ أو باللسان؛ أو بالقلب.
[2] Surah Al-Nisa’ ayat 34.
[3] Surah Al-Furqan ayat 30.
[4] `Ali Naif Syuhud, Al-Mufassal fi Ahkam Al-Hijrah, jil. 1, m/s 6.
[5] Lihat: Al-Manhaj al-Haraki li al-Sirah al-Nabawiyyah, jil. 1, m/s 197.
[6] `Ali Naif Syuhud, Al-Mufassal fi Ahkam Al-Hijrah, jil. 1, m/s 23.
[7] Surah Al-Nisa’, ayat 97.
[8] Surah Al-Anfal, ayat 72.
[9] Surah Al-Anfal, ayat 74.
[10] Min Fiqh Al-Dawlah fi Al-Islam, m/s 16.
[11] Ibid, m/s 17.

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts