- Dunia sudah terbalik. “Hot daddy dijemput sebagai tetamu podcast. Dalam erti kata yang lain orang yang berzina dijemput sebagai tetamu wawancara manakala mereka yang bernikah secara halal pula yang menjadi bahan kecaman orang ramai.
- Situasi ini sangat bercanggah dengan apa yang diajar oleh Baginda Nabi. Rasulullah mencela mereka yang suka mendedahkan dosa mereka sendiri sedangkan Allah sudah menyembunyikan keaiban maksiat yang mereka lakukan. Sabda Rasulullah:
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ
“Setiap umatku akan diampunkan dosa mereka melainkan golongan mujahirin (iaitu mereka yang mendedahkan dosa mereka sendiri). “ (HR Muslim)
- Hari ini umat ditimpa penyakit. Rasulullah mencela pendosa, kita pula mengangkat mereka ke persada. Mereka merasa bangga dengan dosa. Penzina pula diraikan sebagai tamu bual bicara. Sedangkan seorang mukmin itu sepatutnya tidak merasa selesa dengan dosa. Sabda Rasulullah:
“إِذَا سَرَّتكَ حَسَنَتُكَ وَسَاءَتكَ سَيِّئَتُكَ فَأَنتَ مُؤمِنٌ”
“Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal kebaikan dan merasa tidak selesa dengan kejahatan yang engkau lakukan, maka engkau adalah orang yang beriman.” (HR Ahmad)
- Lebih malang lagi andai sekiranya masyarakat pula membiarkan sahaja kerosakan ini. Kejijikan yang diterima secara berleluasa berupaya membinasakan kita semua. Sabda Rasulullah:
ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ
“Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa balasan azab.” (HR Abu Daud)
- Ingatlah bahawa Rasulullah mendidik sahabat supaya menjauhi segala perlakuan yang boleh membawa kepada zina. Bahkan Rasulullah menegaskan bahawa fenomena zina akan membawa kepada kebinasaan. Sabda Rasulullah:
إذا ظهر الزنا والربا في قرية فقد أحلوا بأنفسهم عذاب الله
“Sekiranya berleluasanya perbuatan zina dan riba dalam sesuatu kawasan, maka mereka telah mengundang azab Allah kepada mereka.” (HR al-Tabrani, dinilai sahih).
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM