SHAH ALAM – Peniaga Islam disarankan untuk lebih mendalami dan memahami ayat-ayat suci al-Quran supaya produk dan perkhidmatan yang dihasilkan selari dengan kehendak agama.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ramai umat Islam di negara ini tidak mengambil peduli tentang penyediaan produk dihasilkan sama ada bersih atau sebaliknya.
“Sebagai contoh, makanan yang kita nak beli pun kena pastikan daripada bahan yang halal, cara penyembelihan binatang dengan betul, dimasak dan dihidang dengan bersih.
“Ini tidak, kalau kita nampak ‘no pork’ terus dianggap halal. Jadi, perkara seperti inilah kita perlu padamkan dalam diri dan sudah sampai masanya umat Islam perlu kembali jadi lebih kuat,” katanya semasa program Ummah #GrandReset di Kompleks Kumpulan Karangkraf.
Program anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf dan WUIF itu dihoskan Ahmad Yani Abdul Manaf dan disiarkan secara langsung di semua platform media sosial.
Hadir sama, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johari, qari Ustaz Tirmizi Ali dan pentaddabur yang merupakan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program itu memfokuskan tiga golongan iaitu ulama, ummah dan umara’ dalam agenda yang dibawa seperti surah al-Jumuah.
Ujarnya, masalah ekonomi dalam negara ini merupakan isu besar yang perlu diperbaiki dari awal dengan pemahaman asas al-Quran.
“Kalau kita fahamkan maksud surah ini, pada ayat 10 dan 11 yang mana ALLAH SWT memerintah umat-Nya untuk bertebaran di muka bumi selepas solat Jumaat.
“Jadi, kita harap dengan perintah ALLAH SWT itu mampu menghasilkan produk atau perkhidmatan perniagaan yang barakah,” jelasnya.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM