Menteri Komunikasi Israel, Shlomo Karhi mendakwa bahawa kerajaan Tel Aviv telah menyediakan prosedur yang diperlukan untuk menutup operasi televisyen Al Jazeera yang dibiayai Qatar di negara haram itu.
Keputusan itu diumumkan ketika sesi Jawatankuasa Keselamatan Negara di Knesset yang membincangkan rang undang-undang membenarkan Karhi untuk mengarahkan penutupan media jika didapati membahayakan keselamatan Israel.
“Kami menyediakan prosedur yang diperlukan untuk penutupan Al Jazeera. Ada isu lain yang mungkin perlu kita atasi,” katanya.
Rang undang-undang itu telah diluluskan oleh kerajaan pada 12 Februari untuk bacaan pertama di Knesset.
Di bawah rang undang-undang itu, Menteri Komunikasi akan diberi kuasa untuk menutup rangkaian asing yang beroperasi di Israel dan merampas peralatan mereka jika Menteri Pertahanan mengenal pasti bahawa laporan mereka menimbulkan kemudaratan sebenar kepada keselamatan negara.
Sebelum ini, Kahri menuduh Al Jazeera menentang kepentingan pertahanan Israel dan menyemarakkan sentimen anti-Israel.
“Kami berjaya meminda peraturan kecemasan dengan cara yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dan kami menggunakannya – kami menutup (saluran Lubnan) Al Mayadeen.
“Saluran media ini menghasut terhadap Israel dan merupakan saluran untuk warga Arab Israel dan mereka yang berada di Pihak Berkuasa Palestin,” katanya.
Al Jazeera mempunyai pejabat di Israel dan sepasukan wartawan yang bekerja sepanjang tahun, termasuk membuat liputan mengenai perang berterusan di Semenanjung Gaza yang membunuh lebih 29,300 orang sejak Oktober lalu.- Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM