Jangan pernah lupa saudara kita di Palestin

Hari ini, tidak sah rasanya khutbah kalau tak bercakap mengenai Palestin. Hatta ramai orang kafir di Amerika sendiri bercakap mengenai Palestin setiap hari, mereka berkempen setiap hari, menghambat presiden mereka untuk gencatan senjata.

Itu mereka yang belum beriman. Inikan pula kita yang mengaku beriman.

Nabi SAW bersabda:

مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم مثل الجسد إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى
Maksudnya: Perumpamaan orang-orang beriman, dari sudut kasih sayang dan simpati sesama mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota mengadu sakit, habis seluruh anggota jadi demam dan tidak tidur malam.

Sepatutnya, kita sentiasa rasai kepedihan, kesengsaraan, penderitaan, ketakutan, kebuluran, azab yang sedang dilalui oleh saudara kita di sana.

Kalau benar kita faham makna satu jasad yang Nabi SAW sebutkan itu, nescaya kita tidak gelak seluas mulut, makan sepuas nafsu, lalai dengan konsert-konsert bertali arus. Lagikan jiran kematian kita raikan kesedihan mereka, inikan pula saudara seagama dibunuh beramai-ramai.

Hubungan akidah inilah yang menyebabkan seorang sahabat Nabi SAW bangkit terus membunuh seorang Yahudi yang sengaja memalukan seorang wanita muslimah sahabiah.

Diikat hujung kain wanita itu ketika beliau duduk menjual di pasar. Apabila beliau bangun maka ternampaklah auratnya. Yahudi Bani Qainuqa’ ketawa beramai-ramai. Lalu wanita muslimah itu menjerit sekuat hati. Sahabat yang membunuh Yahudi itu kemudian dibunuh pula.

Maka itulah punca bagi peperangan pertama antara orang Islam dan orang Yahudi di Madinah. Rasulullah SAW langsung tidak memberi muka.

Hari ini, sudah ribuan jeritan wanita muslimah Gaza yang kita dengar dan tonton. Namun tiada yang bergerak.

Penguasa Arab yang berada di sekeliling Palestin tidak bergerak, walau sekadar menghulur makanan. Penduduk Gaza sekarang terpaksa memakan makanan binatang. Dedak-dedak diproses dijadikan roti. Bagi yang tiada dedak, mereka memakan rumput.

Amat mengecewakan, Jordan mengeksport sebanyak 1300 tan sayur sebulan ke Israel. Tentera Mesir pula hanya sekadar memerhati kanak-kanak Gaza kebuluran meminta simpati di pagar sempadan, sambil menanti bom membunuh mereka bila-bila masa.

Semuanya gara-gara umat Islam tidak berkuasa. Umat Islam di seluruh dunia, tiada negara yang terkecuali, berada di bawah kuasa orang kafir. Satu situasi yang tidak diredai Allah dan RasulNya.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekelian,

Berikut adalah beberapa tindakan yang perlu kita lakukan, berdasarkan kemampuan kita:

1) Berdoa sebanyak mungkin untuk saudara kita di Palestin. Selain doa qunut nazilah, berdoalah bersama keluarga, agar anak-anak diajar erti persaudaraan seakidah dan seiman.

2) Meninggalkan kemewahan dalam makanan dan minuman, lebih-lebih lagi menunjuk-nunjuk menu-menu lazat di media sosial. Seolah-olah tiada perasaan.

3) Meninggalkan perkara-perkara yang sia-sia dan berdebat tentang perkara yang tidak membuahkan amal, seperti keturunan orang itu keturunan Nabi SAW dan keturunan orang ini tidak, orang itu hebat orang ini lekeh, dan sebagainya. Semua perbincangan sebegini tak dapat membantu umat Islam yang sedang dipijak-pijak sekarang ini.

4) Mentadabbur ayat-ayat al-Quran mengenai jihad dan mati syahid, serta tuntutan agar umat Islam berkuasa ke atas semua manusia.

5) Sentiasa bercakap mengenai isu Palestin, isu Tanah Suci al-Aqsa, agar ia tidak dilupakan sebagaimana yang dikehendaki musuh.

6) Merapatkan hubungan kita dengan al-Quran, yang begitu berkesan membentuk masyarakat Gaza yang tahan sabar dan amat tabah menghadapi ujian paling berat dalam dunia, lebih-lebih lagi ujian pengkhianatan saudara seagama sendiri.

7) Terakhir dan paling penting, bebaskanlah pergantungan makanan asasi serta ekonomi kita pada orang lain, sebagaimana Gaza dikawal oleh Israel.

sumber : Fb Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts